Tuesday 12 May 2015

Suspek pukul pelajar sembunyi lebih satu jam di siling rumah


Polis: Suspek pukul pelajar sembunyi lebih satu jam di siling rumah - Gambar fail

KUANTAN: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes pukul seorang pelajar tingkatan lima, awal bulan ini dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Balok Sejahtera di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh berkata, semasa serbuan pada 3 pagi itu, suspek yang berusia 20 tahun itu bersembunyi di bumbung siling rumahnya menyebabkan polis terpaksa mengambil masa hampir sejam sebelum berjaya mengesannya.

"Selepas hampir satu jam menggeledah rumah berkenaan, suspek akhirnya ditemui sedang meniarap di atas bumbung siling dan diarahkan turun untuk menyerahkan diri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek dikehendaki polis selepas seorang pelajar tingkatan lima membuat laporan polis di Balai Polis Gebeng mendakwa dipukul suspek bersama sekumpulan rakannya semasa pulang dari sekolah pada 8 Mei lepas.

Katanya, semasa kejadian suspek yang dikatakan menaiki sebuah Perodua Viva hitam telah memukul pelajar berkenaan secara bergiir-gilir bersama rakan-rakannya sehingga mencederakan beliau.

"Akibat kecederaan itu, mangsa, berusia 17 tahun, terpaksa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Balok sebelum dibenarkan pulang, kira-kira 8 malam," katanya.

Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa menyebabkan lelaki berkenaan memanggil rakannya untuk memukul mangsa.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman di IPD Kuantan untuk membantu siasatan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Jenayah. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment