Tuesday 12 May 2015

Ditipu bekas ibu mertua, rugi RM850,000

KUALA LUMPUR - Seorang pemandu trak makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu bekas ibu mertuanya membabitkan kerugian RM850,000, tiga tahun lalu.

Nicholas Kenneth Manuel, 44, didakwa menipu Yap Yan @ Yap Yoke Yong, 73, dengan memperdaya beliau untuk mempercayai bahawa perjanjian yang perlu ditandatangani Yap adalah untuk pinjaman wang sedangkan perjanjian tersebut adalah penjualan rumah milik wanita itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Messrs T G Lim & Partners, Blok B-7-2-1 Megan Salak Park, Jalan 1/12E Taman Desa Petaling, Cheras di sini, pada 24 Dis 2012. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Noor Mousa Azaddin memohon wang jaminan rendah atas alasan anak guamnya perlu menyara tiga orang anak selain belum mendapat gaji kerana baru bekerja.   

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor memerintahkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan semula. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment