Sunday 9 August 2015

'Tidak tahu konspirasi jatuhkan Najib'

BATU PAHAT- Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal, menyatakan beliau tidak menyedari adanya konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Beliau berkata, jika ada konspirasi berkenaan ia perlu diserahkan kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk tindakan selanjutnya untuk membuat keputusan.

“Jika konspirasi berkenaan benar-benar wujud, Perdana Menteri perlu buktikannya dan perlu diserahkan kepada pengetahuan MT Umno, untuk tindakan yang selanjutnya.

“Tak kanlah ada ahli politik nak berkonspirasi dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Bank Negara Malaysia atau Peguam Negara kerana mereka adalah institusi bebas,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Parit Sulong, di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat, semalam.

Sementara itu di BERA, ahli Umno diminta memberhentikan desakan meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Timbalan Presiden Umno.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, Muhyiddin tidak melanggar mana-mana peraturan dalam perlembagaan parti untuk terus memegang jawatan nombor dua dalam parti Melayu terbesar itu meskipun digugurkan daripada barisan Kabinet, dan berhak
kekal memegang jawatan itu.

“Tak payahlah hendak minta Najib mahupun Muhyiddin meletak jawatan. Biar Najib selesaikan isu ini.

“Sementara itu, Muhyiddin beri sokongan kepada Perdana Menteri selaku Presiden Umno manakala beliau selaku Timbalan Presiden beri sokongan sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Bera di Kompleks Rakan Muda di sini, semalam.

Shahrizat berkata, keputusan perletakan jawatan itu terpulang kepada peribadi masing-masing, lebih-lebih lagi apabila mereka merupakan kepimpinan tertinggi parti.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment