Sunday, 9 August 2015

Siasatan ke atas SPRM ditangguh sementara - KPN

KHALID: Saya tidak mahu kami di peringkat bawah bermasam-masam muka, ini sesuatu yang tidak baik untuk pasukan penguatkuasa.

GEORGE TOWN: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya menangguhkan siasatan ke atas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes kebocoran dokumen siasatan agensi itu terhadap SRC International Sdn Bhd, sebuah entiti milik 1MDB.

Khalid menjelaskan arahan itu dibuat beliau susulan pelbagai andaian dan persepsi awam ke atas siasatan berkenaan.

"Pelbagai andaian telah dibuat kerana berbagai persepsi telah dibuat, jadi saya mengarahkan kita tangguhkan sementara itu sebab saya perlu bagi penjelasan.

"Kenapa kita bertindak, saya harap semua dapat memahami, kerana ini sebahagian daripada tanggungjawab kami, dan kita tiada pilihan, dan kita tidak boleh lakukan siasatan dengan selektif, tambahan pula ini adalah kerana kes dan laporan yang cukup serius," jelas Khalid.

Khalid juga menafikan dakwaan SPRM agensi itu jadi sasaran polis.

Sebaliknya, PDRM hanya menjalankan tanggungjawab menyiasat berdasarkan laporan polis yang diterima.

"Kita tidak sesekali mensasarkan mana-mana institusi, tambahan lagi SPRM juga agensi kerajaan, pertuduhan ini bukan dilakukan oleh institusi tapi oleh individu yang kita syaki dan kita perlu siasat.

"Saya tidak mahu kami di peringkat bawah bermasam-masam muka, ini sesuatu yang tidak baik untuk pasukan penguatkuasa," tegas Khalid.

Beliau juga menjelaskan tindakan polis terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM termasuk rampasan fail dan komputer milik mereka adalah mengikut peruntukan undang-undang bagi membantu siasatan.

Siasatan polis terhadap SPRM bermula susulan dakwaan kebocoran dokumen siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd bulan lalu.

Sehingga kini beberapa pegawai kanan agensi itu dipanggil memberi keterangan, termasuk Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamed Zin.

Polis turut menggeledah ibu pejabat SPRM minggu lalu.

Tindakan demi tindakan polis ke atas agensi itu, kemudian disusuli dengan pengumuman Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Abu Kassim Mohamed bercuti atas sebab-sebab kesihatan.

Dua pegawai kanannya, Pengarah Operasi Khas, Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik, Datuk Rozaid Yaakob pula dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa serta merta.

Timbalan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali sebelum ini mengakui siasatan terhadap kes SRC International Sdn Bhd terjejas akibat tindakan polis.

Tindakan polis turut mengundang kenyataan lantang pelbagai pihak, termasuk anggota kabinet sendiri, kerana dianggap dipolitikkan, satu bentuk campur tangan bagi mengganggu gugat siasatan SPRM.

- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment