Mohamed Khaled Nordin
PASIR GUDANG - Umno Johor mengambil pendirian untuk menghormati keputusan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berhubung pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya mengambil ketetapan bahawa urusan kerajaan adalah budi bicara mutlak seorang Perdana Menteri.
Menurutnya, keputusan pengguguran Muhyiddin itu mesti dihormati dan didukung walaupun pada hakikatnya, ada di kalangan ahli parti di negeri ini yang terluka.
"Dan kami juga mengambil ketetapan Umno hanya ada satu nakhoda iaitu Presiden Umno dan kita mesti memberikan kepercayaan untuk dia mengemudi bahtera ini.
"Tetapi hormat kami tidak akan berkurang pada Timbalan Presiden," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang, di sini, hari ini.
Najib turut hadir pada program ini.
Mohamed Khaled berkata, pendekatan 'Cara Johor' adalah mendamaikan dan mengajak semua pihak ke arah muafakat kerana semua pihak adalah bahagian penting dalam keluarga besar Umno.
"Kerana itu kita menyeru agar Timbalan Presiden terus dihormati. Mana mungkin kami akan membelakangkan beliau hanya kerana beliau sudah bukan lagi Timbalan Perdana Menteri.
"Persahabatan kami bukan kerana darjat, bukan kerana pangkat, bukan kerana gelaran dan sama sekali bukan sekadar upacara dan martabat," katanya.
Dalam ucapan itu, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pasir Gudang menyatakan harapan agar Muhyiddin terus bersama mendukung perjuangan Umno, memperbaiki bangsa dan agama.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment