Sunday, 9 August 2015

Budak maut dalam bilik air

Keluarga dan waris Allahyarham Nordamia Amani di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

PORT DICKSON - Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun meninggal dunia selepas ditemui terbaring dalam bilik air rumah keluarganya di Taman Lukut Makmur, di sini, petang kelmarin.

Ketika kejadian jam 4.45 petang itu, kanak-kanak terbabit, Nordamia Amani Mohd Azam difahamkan sedang berada dalam penjagaan bapa dan ibu tirinya bersama adik-beradik tiri mangsa.

Ibu kandung kanak-kanak terbabit, Norafiza Mokhri, 29, berkata, anaknya dijaga bekas suaminya berusia 31 tahun yang sudah berkahwin lain.

Bagaimanapun, katanya, ketika kejadian, bekas suaminya itu tiada di rumah kerana sedang bekerja sebagai pembantu lori.

“Saya mendapat tahu tentang kejadian ini pada jam 5.15 petang semalam. Masa itu anak saya sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Lukut dan disahkan meninggal dunia di situ,” katanya.

Menurutnya, ketika menerima berita menimpa anaknya itu, dia sedang berada di Seremban.

Sementara itu, ibu tiri mangsa, Siti Sabariah Adin, 40, berkata, sebelum kejadian, dia pergi kerja seperti biasa dan balik ke rumah kira-kira 3.30 petang.

“Saya nampak ada kesan calar atas mata arwah dan arwah kata dia kena cakar kucing. Lepas tu saya suruh dia mandi sebab kami nak beraya ke Melaka.

“Tapi sewaktu bersiap, tiba-tiba terdengar bunyi dari bilik air. Saya terus ke bilik air dan tengok arwah sudah terbaring," katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Port Dickson sebelum dirujuk ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Superitendan Baharudin Mustapha berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap hasil bedah siasat ke atas mangsa.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment