Sunday 19 July 2015

Lebih 100 rumah rosak dilanda ribut‎


Gambar Hiasan

IPOH - Lebih 100 rumah rosak dilanda ribut di sekitar Bercham, Tanjung Rambutan, Chemor dan Klebang dekat sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, P Samasuvam berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 6 petang tadi melaporkan mengenai kejadian itu yang menyebabkan kebanyakan rumah terbabit mengalami kerosakan bumbung dan sengkuap.

"Kebanyakan kes membabitkan pokok tumbang, sengkuap dan bumbung terbang.

Setakat ini, kami tidak menerima laporan melibatkan kecederaan," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Menurutnya tiga jentera Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh serta satu jentera Balai Bomba dan Penyelamat Meru turut ditempatkan di lokasi kejadian.

Seorang penduduk di Chemor, Mazayu Mahadi, 45, berkata, ketika kejadian beliau bersama keluarganya sedang melayan tetamu sempena Aidilfitri sebelum tiba-tiba terdengar bunyi guruh yang kuat di luar rumahnya.

"Masa kejadian ada dua keluarga dalam rumah. Saya dengar bunyi guruh dan bila lihat di luar saya tengok angin seperti puting beliung.

"Pokok di hadapan dan tepi rumah tumbang akibat angin itu...Alhamdulillah, tiada yang cedera dan rumah pun selamat. Bagaimanapun, enam hingga tujuh rumah sewa rosak teruk," katanya.

Beliau berkata, kerugiannya dianggarkan kira-kira RM50,000 dalam kejadian itu yang pertama kali berlaku di Chemor.

Pengerusi Masjid Bandar Baru Putra di Bercham, Datuk Masari Abdul Rashid berkata, dalam kejadian kira-kira 5.45 petang itu, bumbung ruang utama masjid yang dibina pada 2001 itu, diterbangkan angin.

"Ruang solat lelaki tidak boleh digunakan kerana permaidani rosak... lebih menakutkan apabila bumbung dan sengkuap rumah berhampiran diterbangkan ke kawasan masjid.

"Semasa kejadian, hanya saya sahaja berada di masjid," katanya.

Menurutnya lebih 30 rumah terlibat dalam kejadian itu dan semua penghuninya tiada di rumah ketika itu.

Masari berkata, ia merupakan kejadian kedua di kawasan itu selepas yang pertama berlaku tujuh tahun lepas.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment