PULAU Patung atau ‘La Isla dela Munecas’ adalah salah sebuah pulau yang terdapat di bahagian selatan Mexico. Pulau ini diberi nama begitu kerana hampir semua pokok dan pondok yang terdapat di pulau ini digantung dengan pelbagai jenis serta patung berwajah seram.
Meskipun dengan sejarahnya yang mengerikan, pulau ini tidak pernah sunyi daripada kunjungan pelancong yang ingin menyaksikan sendiri patung-patung tersebut.
Sejarah di pulau ini bermula lebih 50 tahun dahulu; di mana seorang lelaki bernama Don Julian Santana meninggalkan isteri dan anak-anaknya semata-mata untuk menghabiskan sisa hayatnya di pulau tersebut.
Walaupun dia sudah berkahwin, dia memilih untuk menghabiskan masa tuanya di sana dan menjadi penjaga pulau tersebut. Tragedi yang berlaku seterusnya telah mengubah imej dan landskap pulau itu secara keseluruhan.
Menurut sejarah pulau tersebut, semasa menjaga pulau tersebut, Julian telah menemui mayat seorang budak perempuan yang mati di salah sebuah saliran di pulau tersebut.
Terkesan dengan kematian kanak-kanak itu, Julian menyalahkan dirinya dan percaya bahawa dia bertanggungjawab penuh ke atas kematian tersebut kerana gagal menyelamatkan nyawa budak itu.
Bagaimanapun menurut masyarakat setempat, kanak-kanak tersebut, seperti kebanyakan mangsa lemas yang lain, hanya mati lemas di terusan berkenaan. Tidak lama kemudian, Julian dikatakan menemui anak patung terapung; dipercayai milik kanak-kanak itu di saliran yang sama.
Dia kemudiannya menggantung anak patung itu di salah sebuah tiang di rumahnya, sebagai tanda hormat terhadap kematian kanak-kanak terbabit.
Namun ia tidak terhenti setakat itu. Mengumpul patung mula menjadi tabiat Julian apabila dia mula memancing, mencari dan mengumpul patung untuk digantungkan di setiap pokok di pulau tersebut.
Khabar angin mengatakan Julian berbuat demikian kerana ingin menenteramkan roh kanak-kanak terbabit. Ada juga yang mengatakan bahawa lelaki itu berbuat demikian untuk menyeru roh dan menghidupkan semula kanak-kanak itu.
Kata keluarga Julian, lelaki itu menghabiskan kebanyakan masanya dengan meratapi kematian kanak-kanak itu. Julian mengumpulkan pelbagai jenis patung. Kebanyakannya adalah patung bayi yang kelihatan lusuh dan menakutkan.
Keadaan kesemua patung yang terikat di pelbagai lokasi di pulau tersebut akan menyebabkan kebanyakan pengunjung yang berkunjung ke pulau ini akan pulang dengan kenangan yang tidak mungkin dilupakan.
Akhirnya pada tahun 2001, Julian ditemui mati lemas oleh anak saudaranya di dalam terusan pulau itu. Ironinya, mayat Julian ditemui dilokasi sama dengan mayat kanak-kanak perempuan tersebut dilaporkan ditemui mati.
Pulau tersebut kini dibuka kepada orang ramai untuk tujuan pelancongan.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment