Gambar hiasan
JOHOR BAHARU - Sikap tamak pengusaha kompleks membeli-belah yang hanya mahu mengaut untung sehingga tidak mempedulikan soal keselamatan pengunjung boleh mengundang bahaya jika laluan menuju ke tempat kecemasan tidak diberikan perhatian serius.
Lebih padah, sekiranya laluan itu dihalang dan boleh menjadi 'perangkap maut', sekali gus boleh mengundang malapetaka yang lebih dahsyat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri (JBPM) Johor, Datuk Ab Ghani Daud berkata, keadaan itu dapat dilihat berdasarkan pemeriksaan dibuat di premis premis dan kompleks membeli-belah sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
"Kita telah buat pemeriksaan di 1,546 bangunan atau premis sehingga Jun tahun ini yang mana kita dapati banyak gerai beroda terutamanya di dalam kompleks membeli-belah yang besar mengganggu jalan keluar.
"Ini boleh menjadi perangkap maut sekiranya berlaku kebakaran terutama di kompleks membeli-belah yang sering menjadi tumpuan ramai terutama pada musim perayaan," katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Abd Ghani berkata pihak pengurusan kompleks membeli-belah perlu mengambil perhatian serius dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata, kerana jika tidak, boleh mengundang kecelakaan yang amat serius.
"JBPM menyeru agar pihak pengurusan atau pihak keselamatan mengambil perhatian serius dari segi keselamatan kebakaran kerana keselamatan orang awam sangatlah penting," katanya.
Beliau berkata dengan adanya gerai-gerai beroda tersebut, laluan keluar masuk menjadi sempit sehingga menyebabkan kesukaran orang ramai untuk menuju ke laluan kecemasan dalam masa yang singkat sekiranya berlaku kecemasan.
Menurutnya, laluan pejalan kaki yang ideal di dalam kompleks membeli-belah seharusnya selebar lima hingga 10 kaki bagi memudahkan orang awam yang berkunjung di premis itu untuk menyelamatkan diri dengan mudah sekiranya berlaku kecemasan.
Beliau berkata sempena musim perayaan Aidilfitri ini, sebanyak 49 premis dan bangunan telah diperiksa sejak 7 Julai lepas.
Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati ruang legar antara kedai dan gerai sementara di luar premis adakalanya sangat dekat, kira-kira dua hingga tiga kaki, dan hanya boleh dilalui tidak lebih dari dua orang dalam satu masa sekiranya berselisih.
Gerai-gerai itu yang kebanyakannya menjual aksesori telefon, barang perhiasan serta permainan kanak-kanak, diletakkan berdekatan sehinggakan orang ramai kadang-kala mengalami kesukaran melalui ruang-ruang di antaranya terutama pada waktu puncak.
Selain itu, laluan kecemasan di sesetengah kompleks membeli-belah, dihalang dengan barangan lain.
Sehubungan itu, Ab Ghani berkata satu mesyuarat akan diadakan antara JBPM dan pengusaha atau operator kompleks membeli-belah bagi meningkatkan aspek keselamatan pengunjung ke kawasan tumpuan ramai itu.
Antaranya melihat kesesuaian penggunaan gerai beroda di ruang legar kompleks membeli-belah dalam usaha memastikan keselamatan pengunjung lebih diutamakan, katanya.
"Saya telah mengarahkan bahagian keselamatan kebakaran mempertingkatkan tahap keselamatan kebakaran dengan memberi perhatian di ruang-ruang legar dan laluan keluar keselamatan seperti tangga keselamatan dan laluan kecemasan agar tidak terhalang," kata beliau.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan KerajaanTempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dilaporkan sebagai berkata hasil pemeriksaan ke atas premis dari Januari hingga Jun 2015, sebanyak 8,643 premis telah diperiksa di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,434 notis penghapusan bahaya kebakaran telah dikeluarkan kepada pemilik premis.
Halimah berkata mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba (Akta 341), notis menghapuskan bahaya kebakaran atau kompaun boleh dikeluarkan jika wujudnya bahaya-bahaya kebakaran dalam premis tersebut.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment