Sekiranya pertemuan antara Mahathir dan Najib menjadi kenyataan, ia akan mencuri perhatian seluruh rakyat Malaysia yang selama ini hanya melihat kedua-dua pihak hanya berbalas hujah melalui komen dan penulisan. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan merungkaikan segala persoalan rakyat termasuk menjawab pelbagai persepsi negatif yang dilemparkan kepada beliau dalam sebuah program anjuran Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam).
Program yang dinamakan 'Dialog PM Bersama NGO' itu dijadual berlangsung pada jam 9 pagi, pada Jumaat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Lebih menarik, program tersebut bakal dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sejak kebelakangan ini dilihat banyak mengkritik kepimpinan Najib secara terbuka.
Dalam satu pesanan ringkas kepada Astro AWANI, pegawai khas kepada bekas perdana menteri itu, Sufi Yusof berkata: “Ini adalah jemputan terbuka, Insya-Allah Tun (Mahathir) akan hadir”.
Sekiranya pertemuan antara Mahathir dan Najib menjadi kenyataan, ia akan mencuri perhatian seluruh rakyat Malaysia yang selama ini hanya melihat kedua-dua pihak hanya berbalas hujah melalui blog dan laman web rasmi masing-masing serta komen berasingan di lokasi berbeza.
Selain promosi program itu menggunakan hashtag #Nothing2Hide di media sosial, pihak penganjur program juga telah memuat naik sebuah video berdurasi 73-saat yang menunjukkan pelbagai persoalan dan isu kontroversi yang melanda Najibn dan pentadbirannya.
Dijangkakan 1,000 aktivis dan NGO akan menghadiri program dialog tersebut.
“Pihak NGO patut diberikan peluang untuk bertanya soalan kepada Najib memandangkan mereka ada banyak soalan penting. Ini bagi memastikan ahli politik tidak mendominasi perbincangan mengenai isu-isu nasional,” ujar Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat dalam satu sidang media Isnin lalu.
- Sumber: Astro Awani
No comments:
Post a Comment