Monday 22 June 2015

Siapa mahu bayar ubat mahal?

Gambar Hiasan

TIADA siapa dapat menafikan kos sara hidup di Malaysia sejak kebelakangan ini melonjak tinggi disebabkan pelbagai faktor. Apa yang membimbangkan, kos ini mungkin terus meningkat jika kerajaan menandatangani perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang dikhabarkan di muktamad tahun ini.

Ini disebabkan bab Hak Harta Intelek (IPR) yang dimasukkan dalam TPP oleh Amerika Syarikat (AS), arkitek utama perjanjian itu.

Begitu serius impak bab IPR ini sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyebutnya semasa Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik di Bali, Indonesia pada Oktober 2013 seperti dilaporkan media:

“Apabila (rundingan TPP) mula memasuki bab hak harta intelek, penyelesaian pelabur-negara, syarikat milik kerajaan, alam sekitar dan buruh, secara asasnya ada kesan kepada hak negara berdaulat untuk membuat peraturan dan dasar,” katanya yang turut mengakui TPP bukanlah perjanjian normal seperti ditandatangani Malaysia sebelum ini.

Antara kesan terbesar IPR adalah pada harga ubat-ubatan. Pada masa ini, setiap ubat dikeluarkan syarikat farmasi mempunyai tempoh hak cipta atau paten selama 20 tahun.

Hak cipta ini memberikan kuasa eksklusif atau monopoli kepada syarikat farmasi untuk mengeluarkan dan mengimport ubat sekali gus memastikan keuntungan disalurkan kepada mereka.

Ya, kita faham syarikat farmasi melaburkan banyak wang untuk menghasilkan setiap jenis ubat.

Tetapi adakah syarikat farmasi benar-benar ingin mendapatkan pulangan munasabah daripada pelaburan mereka atau hanya mahukan keuntungan melampau apabila sebuah syarikat farmasi popular AS mencatatkan margin keuntungan 42 peratus pada 2013, iaitu tertinggi bagi mana-mana sektor dalam ekonomi, seperti dilaporkan BBC.

Malah margin keuntungan industri farmaseutikal juga dua kali ganda lebih tinggi daripada sektor minyak dan gas pada 2013, menurut kajian Forbes.

Syarikat farmasi AS dilihat mahu terus memastikan mereka mendapat keuntungan melampau ini dengan meminta kerajaan AS memastikan tempoh paten dipanjangkan di bawah TPP bagi mengelakkan syarikat kecil lain menghasilkan dan menjual ubat mereka dengan murah.
Ini kerana sebaik tempoh paten tamat, syarikat tempatan boleh mengambil ‘resipi’ ubat itu daripada pihak berkuasa kesihatan dan menghasilkan ubat generik dengan komposisi kimia dan kualiti sama seperti ubat asal.

Ubat generik dapat dijual dengan murah kerana syarikat tempatan tidak perlu lagi menjalankan penyelidikan yang memakan kos jutaan ringgit seperti dilakukan syarikat asal.

Penghasilan ubat generik dipersetujui masyarakat antarabangsa bagi memastikan semua terutama berpendapatan rendah mempunyai akses kepada ubat murah.

Jadi lebih cepat versi generik sejenis ubat itu dapat dikeluarkan, lebih ramai orang akan mendapat manfaatnya kerana pakar kesihatan di Malaysia mendapati ubat yang dipatenkan boleh mencecah 1,044 peratus lebih mahal berbanding versi generiknya di Malaysia.
Kajian MTEM menunjukkan TPP akan menaikkan harga ubat-ubatan 60 hingga 80 peratus lebih tinggi berbanding sekarang.

Harga ubat semakin mahal akan menyebabkan lebih ramai ke hospital kerajaan, menyebabkan kesesakan melampau dan melonjakkan kos pembelian ubat oleh kerajaan Malaysia sendiri.

Ketidaksenangan terhadap bab IPR dalam TPP pernah disuarakan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menentang pelanjutan tempoh paten dan meminta kerajaan lebih telus dalam memaklumkan kepada rakyat mengenai kesan TPP.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam pula pada Mac lalu di Parlimen menegaskan Malaysia tidak boleh menyokong sebarang langkah yang akan menghalang akses rakyat kepada ubat generik yang selama ini telah melindungi rakyat dan memastikan harga ubat terkawal.

Kemasukan bab IPR yang mengikat secara undang-undang dalam perjanjian perdagangan ini adalah isu yang sangat kontroversi dan pakar ekonomi termasuk penerima Hadiah Nobel, Prof Joseph Stiglitz menentang keras tindakan ini.

Dalam satu forum di New York awal tahun ini, Stiglitz berkata negara membangun seperti Malaysia yang terlibat dalam TPP akan menanggung lebih banyak kerugian di bawah bab IPR jika cadangan diusulkan AS diterima.

Katanya, cadangan itu akan memberi kuasa melampau kepada syarikat farmasi gergasi untuk menghalang pengeluaran dan bekalan ubat daripada pesaing mereka, iaitu syarikat ubat generik.

“Kami (AS) negara kaya tetapi banyak negara TPP lain tidak begitu kaya dan jika (perjanjian) ini diteruskan, orang akan mati dan bajet (kesihatan) akan melonjak. Jadi masalah ini lebih besar kepada mereka (negara membangun dalam TPP) berbanding AS,” katanya.
Namun AS, negara asal banyak syarikat farmasi gergasi, tidak kisah sama ada rakyat kita mampu membeli ubat atau tidak.

Berdasarkan draf rundingan bab IPR dalam TPP yang dibocorkan sebelum ini, AS mencadangkan tempoh hak cipta itu dipanjangkan selain ingin memperkenalkan 12 langkah yang akan menaikkan harga ubat di pasaran.

Objektif mereka hanya memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada syarikat farmasi AS yang sudah pun merekodkan untung berbilion ringgit.

Ini meletakkan nyawa jutaan rakyat Malaysia terutama berpendapatan rendah dalam bahaya. Adakah ini perjanjian yang kerajaan ingin tandatangani, yang memberi risiko kepada rakyat Malaysia?

------------------------------------------------------------------------------------
- Oleh: MOHD NIZAM MAHSHAR: KETUA EKSEKUTIF MAJLIS TINDAKAN EKONOMI MELAYU (MTEM)
-  Sumber: Sinar Harian | 22 Jun 2015

No comments:

Post a Comment