SKUAD hoki negara mengalahkan China 3-2 di dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B peringkat separuh akhir Liga Hoki Dunia di Stadium K.H.C Dragons, di Antwerp, Belgium hari ini.
Malaysia mendahului menerusi pukulan cantik dari sudut sukar oleh Faizal Saari pada minit ke-18 sebelum Muhammad Haziq Shamsul menambah gol kedua minit ke-30.
China bangkit pada suku ketiga dan Guo Xiaoping membuka jaringan pada minit ke-38 sebelum pasukan yang berada di ranking bawah itu dihadiahkan pukulan penalti beberapa minit kemudian.
Bagaimanapun, Malaysia membuat keputusan menggunakan rujukan video dan penalti itu ditarik balik.
Malaysia meningkatkan jaringan kepada 3-1 pada suku terakhir menerusi pukulan sudut penalti oleh kapten pasukan Muhammad Razie Abd Rahim, sebelum China mendapatkan gol kedua sejurus kemudian selepas bola melantun dari kayu hoki Zhang Zhixuan.
Dengan kemenangan hari ini, Malaysia mendapat tiga mata. Malaysia diundi dalam Kumpulan B dengan China, Ireland, Belgium dan England.
Pemain kedua-dua negara memakai toha berwarna hitam sebagai menghormati penjaga gol Malaysia S.Kumar yang pulang ke tanah air berikutan kematian anak lelaki bongsunya.
Sebelum perlawanan, kesemua di dalam stadium juga bertafakur untuk memberi penghormatan kepada S. Kumar yang kehilangan anaknya itu.
Malaysia dijadualkan bertemu Ireland pada 25 Jun ini.
Malaysia yang menduduki ranking ke-12, perlu berada di tempat tiga teratas untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil tahun hadapan.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment