Monday, 22 June 2015

Mukhriz: Rambut saya hilang kerana ayah saya!

Mukhriz Mahathir

SHAH ALAM - “Ayah (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) seorang yang tegas dengan anak-anaknya tetapi ketegasan itu disirami kasih sayang yang sangat dalam,” ujar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Menceritakan salah satu memori bersama bapanya, Mukhriz berkata, bapanya itu tidak akan terus marah atau memberi teguran keras kepada anak-anaknya, sebaliknya lebih suka diam dari bercakap seperti biasa.

“Ha, when did you get back (bila kamu sampai), Is?, tanya ayah walhal saya sudah hampir seminggu pulang dari MRSM Kota Bharu (kini MRSM Pengkalan Chepa) untuk cuti semester. Sepanjang saya berada di rumah No. 3 Jalan Tunku, iaitu kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri, ayah tidak banyak bercakap. Dia sekadar menjawab pertanyaan saya dengan sepatah dua perkataan sahaja. Entah kenapa, kali ini ayah tidak mesra berbual seperti selalunya.

“Lima hari berlalu dengan keadaannya sama sahaja, ibu menghulurkan duit RM5 dan menyuruh saya pergi gunting rambut. Setelah pulang ke rumah dengan rambut pendek dan kemas, barulah dari belakang surat khabar ayah menyapa: “Ha, bila balik Is?” kata Mukhriz seperti yang dipetik menerusi Facebooknya sempena Sambutan Hari Bapa, semalam.

Katanya, bapanya yang tidak begitu ‘berkenan’ dengan keadaan rambut Mukhriz yang pada waktu itu agak panjang dan kusut masai menyebabkan kurangnya komunikasi antara beliau dan ayahnya.

“Cara dia menunjukkan kemarahannya dengan tidak terus menegur saya, langsung tidak saya fahami.

Hal itu saya sedari hanyalah setelah ibu dengan tepat meneka tindakan yang boleh menjernihkan keadaan iaitu dengan saya memotong rambut.

“Agaknya kerana terkejut dengan episod itulah pertumbuhan rambut saya terencat dan akibatnya semua orang dapat lihat sendiri!” selorohnya.

Menurutnta lagi, sebagai anak, beliau memahami tugas dan perhatian bapanya yang lebih tertumpu kepada rakyat dari keluarga.

Oleh itu, tugas mendidik dan memberi perhatian kepada keluarga diambil alih oleh ibunya sepenuhnya.

“Kalau ada apa-apa yang tidak kena dengan anak-anak, tugas memperbetulkannya jatuh di tangan ibu. Ayah akan tangani sendiri jika timbul hal-hal yang dianggap besar melibatkan anggota keluarga.

Sejak usia muda kami adik beradik faham bahawa masa dan perhatian ayah lebih tertumpu kepada rakyat daripada keluarga. Itulah realitinya sampai hari ini. Oleh itu, hal-hal dalaman keluarga diselesaikan oleh ibu tanpa perlu mengganggu ayah.

“Begitu berkesan cara ibu menguruskan hal-hal keluarga sehingga membolehkan ayah menumpukan masa dan tenaga kepada urusan negara. Dewasa ini saya dilihat mempunyai sifat penyabar.

“Sifat banyak bersabar itu tentunya saya warisi dari ibu. Mujurlah Siti Hasmah berkahwin dengan Mahathir. Kalau orang lain, kemungkinannya lelaki pilihan Siti Hasmah itulah yang akhirnya menjadi Perdana Menteri!,” ujarnya lagi.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment