ALOR SETAR - Exco Pendidikan Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain hari ini menafikan dakwaan bahawa seorang guru penolong kanan di sebuah sekolah rendah di Kedah telah menyuruh anak murid bukan Islam untuk meminum air kencing sendiri.
Menurutnya, kenyataan oleh guru berkenaan bukan seperti yang telah dilaporkan dalam surat yang ditulis oleh waris murid bukan Islam yang telah diviralkan dalam media sosial.
"Ini semua berpunca dari satu surat layang yang ditulis seorang waris murid bukan Islam kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Muda menyatakan guru dari sebuah sekolah di Sungai Petani mengarahkan pelajar bukan Islam supaya minum air paip atau air kencing sendiri di tandas sekolah pada bulan Ramadan ini pada perhimpunan sekolah pagi semalam.
"Kita percaya kenyataan tersebut telah disalah erti oleh murid-murid. Guru tersebut ingin meminta supaya pelajar bukan Islam menghormati pelajar Islam supaya tidak minum di hadapan mereka sebaliknya pergi ke tandas untuk minum," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.
Tajul Urus berkata, ibu bapa sepatutnya pergi ke sekolah untuk mendapatkan penjelasan daripada guru tersebut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan yang melulu tanpa usul periksa yang boleh menyentuh isu sensitif yang bersifat perkauman.
Katanya, mereka sepatutnya mendapatkan penjelasan dahulu sebelum mengambil tindakan terburu-buru yang akhirnya telah menyebabkan guru berkenaan menerima ugutan dan terpaksa membuat laporan polis hari ini.
"Saya anggap isu ini telah selesai dan sekiranya ada pihak waris murid yang masih tidak berpuas hati mereka boleh datang berjumpa dengan saya untuk diberi penjelasan yang lebih jelas berkaitan perkara ini," katanya.
Dalam masa sama, Tajul Urus mengingatkan supaya semua pihak berhati-hati semasa bercakap atau bergurau kerana takut ia disalah erti sehingga ia boleh diviralkan ditambah dengan penggunaan media sosial yang semakin meluas.
- Sumber: Bernama
No comments:
Post a Comment