Friday 8 May 2015

Kerajaan perlu timbang wujudkan daftar pesalah pedofilia

Anifah berkata pesalah perlu dihebahkan kepada umum supaya ibu bapa dan masyarakat yang mempunyai anak kecil berasa lebih selamat.

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menimbang untuk mewujudkan daftar bagi pesalah pedofilia sebagai langkah pencegahan tegas dalam membendung jenayah itu, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata pesalah perlu dihebahkan kepada umum supaya ibu bapa dan masyarakat yang mempunyai anak kecil berasa lebih selamat.

"Saya merujuk kepada laporan mengenai kes Nur Fitri Azmeer Nordin, pelajar Malaysia yang disabitkan kesalahan memiliki bahan pedofilia di United Kingdom dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Beliau berkata kerajaan tidak akan membiarkan perbuatan itu kerana ia adalah jenayah terhadap kanak-kanak.

Menurutnya kerajaan memandang serius kes yang membabitkan Nur Fitri Azmeer.

"Rakyat Malaysia termasuk penuntut dikehendaki mematuhi undang-undang di negara yang mereka bermastautin.

"Saya juga ingin menekankan bahawa penuntut Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memberi tumpuan kepada pengajian serta menjaga nama baik dan imej negara," kata Anifah.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak menimbulkan kekeliruan antara perkhidmatan nasihat dan memelihara hak asasi manusia dengan hak untuk diselamatkan selepas melakukan perbuatan dianggap jenayah amat serius dan tidak berperikemanusiaan terutamanya yang melibatkan kanak-kanak. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment