Friday 8 May 2015

Farid tolak berganding bersama Diana?

Farid Kamil dan Diana Danielle

BAGI pelakon yang sudah berumah tangga, gandingan bersama pasangan masing-masing yang juga bergiat dalam dunia yang sama pastinya dinantikan peminat.

Bagaimanapun bukan mudah mahu melihat pasangan suami isteri bersatu dalam dalam filem atau drama disebabkan pelbagai kekangan.

Begitulah yang dilalui pasangan pelakon, Farid Kamil dan isterinya, Diana Danielle yang sehingga kini masih belum berkesempatan digandingkan bersama dalam apa juga filem.

Namun dalam masa yang sama, Farid memberitahu, dia sendiri belum merancang untuk berganding bersama dalam satu lakonan.

“Memang pernah terfikir untuk berlakon bersama, tetapi tidak merancang, merancang ke arah itu secara spesifik belum ada.

“Nak dapat gandingan (suami isteri) dalam filem ini bukan suatu yang mudah. Ia satu perkiraan yang sangat sukar,” katanya ketika ditemui pada pra pelancaran Adaptasi Filem ke Novel, Langit Cinta, baru-baru ini.

Mengulas mengenai dunia kerjayanya di bawah naungan syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG), pelakon berasal dari Alor Star, Kedah ini memberitahu, setakat ini dia selesa bergerak di bawah MIG.

“Saya bersyukur masih lagi berada dalam MIG, diberi kebebasan mengarah sebelum ini.

“Tetapi kini saya lebih kepada menambah baik kualiti penghasilan skrip dan tidak ada perancangan lagi untuk mengarah semula,” katanya.

Di tanya mengenai dakwaan dia enggan menerima tawaran lakonan selain daripada MIG, jelas Farid, isu seperti itu tidak pernah timbul.

“Saya masih menerima dan mainkan watak dengan produksi lain seperti Lagenda Budak Setan.

“Semua sama sahaja, saya terima asalkan bertepatan dengan jadual dan tidak ada aral boleh halang saya,” katanya.

Hero kampung

Berkongsi pengalamannya sepanjang terlibat dalam filem arahan terbaru Osman Ali, Langit Cinta yang akan diadaptasi ke novel, Farid berkata, wataknya sebagai hero kampung iaitu Budiman sememangnya sesuatu yang baru untuk dijayakannya.

“Sudah tentu saya teringinkan watak begini iaitu seorang pemuda kampung yang tipikal yang jarang ditemui di Malaysia.

“Walaupun bukan sebagai pemegang watak utama filem, tetapi watak Budiman itu tetap hero bagi Kampung Pulau Terumbu, Langkawi.

“Sebaik sahaja saya terima skrip Langit Cinta ini, saya teliti dan fahami. Ini merupakan filem yang sangat menarik untuk saya berada dalam filem cinta ini,” katanya.

Mengulas mengenai gandingan dengan semua barisan pelakon dalam filem tersebut di mana antara peneraju utama adalah Fazura, Keith Foo, Siti Saleha, ujarnya, ia satu pengalaman baru kerana pertama kali digandingkan dengan semua barisan pelakon tersebut.

“Tetapi cabaran besar perlu saya hadapi apabila perlu membawa bot galah iaitu enjin yang punyai ekor panjang di belakang secara handal tanpa kekok untuk mengawalnya.

“Padahal itu kali pertama saya kendalikan bot seperti itu, di mana kalau salah kawalannya, bot tidak akan seimbang. Tetapi ia memang satu pengalaman baru dan saya seronok,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian  

No comments:

Post a Comment