Tuesday 21 April 2015

Lelaki simbah cat di Menara Maxis

KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang menimbulkan kekecohan dan menyimbah cat di ruang legar kaunter perkhidmatan di Menara Maxis, Jalan Ampang hari ini, ditahan polis.

Dalam kejadian kira-kira 12.06 tengah hari itu, kedua-dua suspek yang berusia 45 dan 57 tahun dikatakan naik berang apabila tuntutan mereka untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran VIP syarikat telekomunikasi itu tidak dilayan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, siasatan awal mendapati, pada Sabtu lepas kedua-dua suspek yang bekerja menjual
nombor pendaftaran kenderaan dan nombor VVIP Maxis syarikat telekomunikasi itu cuba mendapatkan 10 nombor pendaftaran telefon berkenaan.

Namun pihak Maxis hanya memberikan dua nombor sahaja kepada mereka, katanya.

"Seorang daripada suspek yang berusia 57 yang tidak berpuas hati lalu memberi amaran akan datang pada hari ini (Selasa) untuk mendapatkan nombor selebihnya ... jika gagal, suspek akan membuat kacau," katanya ketika dihubungi Bernama.

Zainuddin berkata kedua-dua suspek berkenaan datang semula ke syarikat telekomunikasi itu hari ini menuntut baki nombor pendaftaran telefon berkenaan, namun pihak Maxis tidak melayan mereka dan ini menyebabkan suspek mengamuk dan menjerit.

Suspek memanggil 10 lelaki lain dan menimbulkan kekecohan di situ sebelum bertindak mencurah cat kuning di ruang legar kaunter berkenaan, katanya.

"Kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan ugutan jenayah dan khianat. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment