Tuesday 21 April 2015

Beli buku dapat RM100,000


SHAH ALAM - Jika anda ingin memenangi wang tunai berjumlah RM100,000, jangan lepaskan peluang untuk datang ke pusat pameran Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2015 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 24 April hingga 3 Mei 2015.

Penerbit Eksekutif Penerbitan Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, wang tunai yang ditawarkan itu adalah sebagai salah satu cara Karangkraf menghargai para pembaca dan pelanggan setia yang selama ini memberikan sokongan kepada syarikat penerbitan itu. 

Menurut Firdaus, melalui peraduan Karangkraf Pemurah Giler! Tabur duit tunai RM100,000, Karangkraf akan memberikan wang tunai RM5,000 setiap hari dengan pembelian minimum RM50 buku-buku dan majalah terbitan Karangkraf. 

Beliau berkata, wang tunai sebanyak RM1000 untuk seorang pemenang (1), RM500 (2), RM300 (3), RM200 (5) dan RM100 (11) akan diberikan melalui cabutan bertuah setiap hari yang akan dilakukan jam 7 malam. 

Sementara itu bagi pelanggan bertuah yang membeli buku dan majalah dengan nilai minimum RM100 pula, mereka berpeluang menang wang ekstra berjumlah RM50,000. 

Daripada jumlah itu, RM30,000 untuk seorang pemenang (1), RM10,000 (1) dan RM1,000 (10). 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, lokasi pameran syarikat penerbitan terbesar di Malaysia ini berlokasi di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC. 

Dalam pada itu, bersempena PBAKL2015 juga, beberapa buku baru bakal dilancarkan termasuk buku tulisan penceramah terkenal Ustaz Kazim Alias berjudul Duhai Wanita Permaisuri Hati dan buku tulisan Allahyarham Abdul Nik Aziz Nik Mat berjudul Bicara Ini Buat Murabbi yang turut diberikan diskaun istimewa. 

Seperti biasa bersempena pesta buku, pengunjung juga boleh mendapatkan buku, novel, majalah dan al-Quran terbitan Karangkraf dengan diskaun istimewa sehingga 90 peratus. 

Firdaus berkata, bagi memeriahkan lagi pameran, beberapa acara bakal berlangsung di pentas utama PBAKL2015 termasuk Anugerah Prolifik Alaf 21, Media Hiburan Mini Showcase, Pelancaran Al Quran Karya Bestari serta pelancaran Buku Ahmad Ammar. 

“Sebanyak 1,600 judul buku, 21 buah judul majalah terbitan Karangkraf, malah kita turut menawarkan buku serendah RM2 kepada pengunjung.

Jangan lepaskan peluang, semua dijemput hadir ke Dewan Tun Dr Ismail kerana Karangkraf menjanjikan tawaran menarik setiap hari untuk pengunjung-pengunjung yang dihargai,” katanya. 

Sementara itu, Karangkraf bukan sahaja membuka peluang pengunjung memenangi wang tunai besar berjumlah RM100,000, bahkan turut bermurah hati untuk memberikan buku-buku, novel, majalah secara percuma kepada pengguna media sosial bertuah. 

Pengurus Besar Bahagian Jenama dan Komunikasi, Raja Shahfaizal Raja Khairudin berkata, para pengguna media sosial boleh mengambil peluang dengan “SHARE dan LIKE poster Karangkraf Pesta Buku Kuala Lumpur dengan menyertakan #karangkrafpestabukukl di Facebook dan Instagram. 

Raja Shahfizal berkata, pemenang iaitu mereka yang melakukan Share dan Like terbanyak di Facebook dan Instagram berpeluang memenangi buku dan majalah bernilai RM150 bagi tempat pertama, RM100 bagi tempat kedua dan RM50 bagi tempat ketiga. 

"Pemenang boleh memilih sendiri buku atau majalah yang mereka suka yang terdapat di ruang pameran tersebut,” katanya. 

Lebih 900 gerai akan dibuka di PBAKL 2015, anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia serta Kementerian Pendidikan bersama Majlis Industri Buku Malaysia, disertai 214 pempamer tempatan dan luar negara. 

Muat turun dan cetak borang penyertaan di http: www.karangkraf.com dan menangi hadiah istimewa.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment