Tuesday 21 April 2015

Keluarga tawar ganjaran RM18,000 untuk cari Dennis Lee



Kementerian Luar Malaysia dam Kedutaan Malaysia di Kathmandu berkata mereka menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa Nepal dalam operasi SAR. - Foto sumber Facebook Dennis Lee

PUTRAJAYA: Sebuah ganjaran bernilai 500,000 rupee Nepal (kira-kira RM18,000) telah ditawarkan oleh keluarga seorang pendaki Malaysia yang hilang sewaktu menyertai pendakian sirkit kembara Annapurna, Dennis Lee Thian Poh.

Nilai ganjaran yang telah dihebahkan dalam media tempatan di Nepal itu ditawarkan kepada sebarang individu atau kumpulan yang dapat membantu menemukan Dennis, 48, yang hilang sejak 5 April lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar Malaysia dan Kedutaan Malaysia di Kathmandu berkata mereka menjalin kerjasama erat dengan pihak berkuasa Nepal dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Menurut kenyataan itu, beberapa mesyuarat telah dijalankan dengan pihak berkuasa Nepal dan Kedutaan Malaysia memberikan sokongan penuh dalam usaha mencari Dennis.


Sebelum ini, operasi SAR telah melibatkan sekumpulan tentera dan polis Nepal bersama anjing pengesan. Penduduk kampung di kawasan terdekat turut bersama-sama memberikan bantuan.

Pada 5 April lepas, Dennis telah menyertai pengembaraan tersebut bersama kumpulan pendaki dari Filipina namun dikatakan telah terpisah dari ahli kumpulan tersebut sebelum hilang.

Ahli kumpulannya hanya menyedari kehilangan Dennis di trek Khopra Danda di kawasan Ghorepani pada hari Ahad iaitu hari pertama pendakian.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment