KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyifatkan harga RM6.80 bagi sepuluh biji telur ayam adalah tidak munasabah.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya memerlukan bantuan agar pengguna membuat aduan kepada kementerian supaya tindakan dapat diambil.
"Saya setuju harga barang itu tidak munasabah. Contoh kalau telur, sepatutnya dalam RM3 hingga RM3.50 bukan RM6.50 dan sardin dari RM2 jadi RM5.
"Ini adalah harga yang tidak munasabah. Sebab itu, kita perlukan kerjasama Yang Berhormat untuk buat aduan. Supaya kami dapat buat penguatkuasaan kerana saya sendiri rasa harga itu tak munasabah," katanya ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dari Datuk Mohd Idris Jusi (PKR-Batu Pahat) yang mendakwa terpaksa membayar RM6.80 bagi 10 biji telur ayam ketika menemani isterinya berbelanja.
"Saya teman isteri belanja barang dapur. Dia kata harga telur ayam RM6.80 sepuluh biji. Maknanya sebiji telur 68 sen. Kemudian, beli sardin kecil yang dulunya berharga RM2.50 sekarang RM5.50 setin.
“Harga ini belum GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Umumnya harga sudah naik sebelum GST. Selain mekanisme biasa, apa mekanisme yang luar biasa yang boleh difikirkan kementerian?," ujarnya.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang menyentuh soal persediaan kementerian berdepan GST, beliau mengesahkan pihaknya telah bersedia menanti pelaksanaan GST, 1 April ini.
"Kita telah bersedia menghadapi GST. Walaupun kita tahu banyak cabaran. (Sebab) apa juga permulaan yang akan bermula, (pasti) banyak cabaran.
"Tapi kita dah bersedia insya-ALLAH kita akan cuba atasi. Pegawai penguat kuasa telah ditambah, persediaan lain seperti bilik gerakan...tempat menerima aduan juga telah disediakan," katanya.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment