Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dicabar mengemukakan saman terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli jika pendedahannya mengenai pembelian jet peribadi berunsur fitnah dan tidak berasas.
Rafizi berkata, jika angka-angka mengenai perolehan pesawat eksekutif untuk kegunaan perdana menteri itu tidak benar maka beliau sedia dipenjarakan.
"Inilah peluang terbaik untuk memenjarakan saya. Umno sudah tentu menunggu saya membuat salah untuk letakkan saya dalam penjara.
"Sehingga kini bukan sahaja tiada tindakan undang-undang tetapi tidak ada juga penafian kepada setiap satu angka yang saya sebut kerana mereka tahu bahawa salinan perjanjian itu sudah sampai kepada saya," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Shahidan yang juga Ahli Parlimen (BN-Arau) semalam yang mengatakan Rafizi berniat jahat terhadap perdana menteri dengan mendakwa pembelian pesawat eksekutif kerajaan sebagai jet peribadi.
Shahidan juga mengatakan angka pembelian pesawat eksekutif kerajaan itu yang disebut Rafizi juga tidak tepat dan mengelirukan rakyat.
[ARTIKEL BERKAITAN: Isu jet: Nyawa pemimpin tertinggi keutamaan negara]
Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen (PKR-Pandan) juga mempersoalkan tindakan Putrajaya yang didakwa mengarahkan penjawat awam menandatangani satu akujanji mengenai kerahsiaan kerajaan berhubung kes tersebut.
"Apabila kita siarkan tentang jet ini pada minggu lepas, antara langkah pertama yang dibuat oleh kerajaan ialah dengan memaksa kakitangan awam di Putrajaya menandatangani satu akujanji mengenai kerahsian di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi).
"Kalau yang ini saya sebut tidak betul, kenapa dia menggelabah dapatkan jabatan-jabatan kerajaan menandatangani satu akujanji, tindakan itu jelas," ujarnya.
Ketika ditanya tentang keupayaannya mengakses maklumat kerajaan dengan mudah, beliau berkata masyarakat kini sudah berubah kerana kesedaran terhadap budaya "Whistle Blower" semakin baik diterima rakyat.
"Sebenarnya kalau hendak menyiasat (salah laku) ia tidak susah, mengorek bukti penyelewengan ini saya buat ini sudah jadi hobi, kalau tidak bosan jadi ahli politik, ini lebih menyeronokkan.
"Saya yakin jika Jabatan Audit Negara, polis dan SPRM betul-betul hendak siasat, bertimbun-timbun dia boleh jumpa sebenarnya kerana sumber ini ada di mana-mana saja.
"Jadi untuk kerajaan menghentikan penjawat awam atau swasta memberikan maklumat bukan suatu perkara yang mudah sekarang," katanya lagi.
- Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment