Wednesday, 25 March 2015

Detik cemas diculik militan IS selama 8 jam

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang sukarelawan yang menyertai misi bantuan ke Syria September 2013 lalu berkongsi detik cemas apabila rombongannya diculik kumpulan militan IS selama lapan jam dan melihat sendiri salah seorang rakannya ditembak mati.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia, Mustapa Mansor, meskipun detik cemas itu sudah berlalu setahun setengah, namun situasi itu masih segar diingatkannya.

“Ketika itu dengan keadaan kepala bersarung kain hitam macam menanti hukuman mati. Bila-bila masa saja kami boleh ditembak atau disembelih,” katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas sidang media Empat Tahun Tragedi Kemanusiaan Syria, di sini, semalam.

Mustafa berkata, rombongan misi kemanusiaan Syria Care Malaysia yang disertainya itu ditahan oleh sekelompok militan IS ketika dalam perjalanan menyerahkan bantuan.

"Rombongan kami menaiki dua van dan sebuah kereta. Sampai di satu tempat, kami ditahan sekelompok lelaki bersenjata bertopeng. Salah seorang dari rakan kami dari Syria, kalau tak silap namanya Abu Ubaidah, cuba untuk berbincang namun lama-kelamaan, keadaan semakin serius.

Beliau berkata, apabila mahu menunjukkan pasport, pasport mereka diambil dan salah seorang anggota IS masuk dalam van dan memandu van tersebut.

“Berlaku pertengkaran dan Abu Ubaidah ditendang masuk ke dalam bonet. Kemudian van itu bergerak lagi dan sampai satu tempat, dia dikeluarkan dari bonet.

“Kemudian mereka bergaduh lagi dan saya lihat Abu Ubaidah sudah berdarah-darah dan dalam jarak lebih kurang 10 meter, saya lihat militan IS itu menembak mati Abu Ubaidah.

"Kami hanya mampu melihat dari dalam van yang berkunci,” katanya.

Meneruskan ceritanya, Mustafa memberitahu beliau dan beberapa rakan dalam rombongan itu termasuk Ketua Pasukan Perubatan Palestine Reconstruction Team (PRT), Dr Ardi Irawan Tanjung dipaksa berpindah ke sebuah lori sebanyak dua kali sebelum tiba di sebuah kawasan dan ditempatkan dalam sebuah bilik.

“Kami diperiksa dan jam saya turut dirampas. Ketika itu terfikir, takkan pejuang Islam merompak?

“Tapi dalam bilik itu kami dibenarkan menunaikan solat sebelum kami berlapan dibebaskan dengan pertukaran tiga militan IS yang berjaya ditangkap pejuang rakyat Syria itu,” katanya yang masih bersemangat untuk meneruskan perjuangan untuk rakyat Syria selepas kejadian itu.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment