Wednesday 4 February 2015

Tombiruo bakal ke lokasi penggambaran


PENGHUJUNG tahun lalu, Kumpulan Media Karangkraf menyusun satu majlis pra pelancaran untuk memperkenalkan projek kerjasama dalam arus penerbitan filem.

Pertama kali mengorak langkah dalam bidang penerbitan filem, Karangkraf dengan kerjasama Layar Sunan Sdn Bhd dan Ideate Media Sdn Bhd, tampil mempertaruhkan novel popular, Tombiruo : Penunggu Rimba ke layar perak.

Komited dalam usaha merealisasikan karya nukilan novelis thriller terkenal, Ramlee Awang Murshid, tiga pihak ini termasuk pengarah, Nasir Jani, bekerja keras dalam memastikan prosesnya berjalan lancar.

Malah, pada Karnival Karangkraf yang berlangsung selama tiga hari (Jumaat, Sabtu dan Ahad) lalu, Karangkraf mengundang Ramlee dan Nasir untuk berkongsi mengenai pembikinan filem ini.

Dalam perkongsian itu, baik Nasir mahupun Ramlee, mereka merumuskan proses pembikinan itu berjalan lancar walaupun mengambil masa yang agak panjang.

Pun begitu, menurut novelis yang berasal dari Papar, Sabah ini, pembikinan filem Tombiruo kini semakin mencabar kerana mereka bakal melanjutkan kerja pembikinan di lokasi penggambaran tidak lama lagi.

"Setakat ini, kami masih lagi dalam proses memantapkan lagi skrip, lakon layar, kru produksi dan menyusun jadual penggambaran. Kami sepakat memberi tumpuan lebih dalam proses pertama agar ianya tidak memberi sebarang kesulitan di kemudian hari.

"Insya-ALLAH, proses itu akan siap sepenuhnya pada penghujung Februari ini dan kami akan memulakan penggambaran tidak lama lagi.

"Kemungkinan besar, ia bakal dilakukan pada April ataupun Mei depan. Terpulang pada masa, jadual ditetapkan nanti," katanya.

Ramlee cerewet?

Jika ada segelintir filem tempatan hanya memerlukan seminggu untuk perbincangan dan seminggu lagi untuk penggambaran, namun tidak untuk Tombiruo kerana sehingga kini sudah terhasil 18 draf.

Malah, kemungkinan besar, bilangan itu akan bertambah lagi sekiranya tiada kata persetujuan daripada mana-mana pihak yang terlibat terutamanya Ramlee.

Apatah lagi, Ramlee sendiri mengakui dia sememangnya cerewet dan menitik beratkan segenap perkara dalam pembikinan filem adaptasi ini.

"Sejak awal lagi, saya memang berpegang pada prinsip di mana saya tidak akan membenarkan orang lain (penulis skrip) mengubah atau memperlakukan sewenang-wenangnya terhadap karya-karya saya. Saya tidak percaya orang lain mampu mengangkat novel saya sama seperti penceritaan yang ingin saya ketengahkan.

"Sekiranya novel ini diangkat ke layar, saya akan turut serta dalam memastikan roh dan semangat novel itu tidak terganggu sehingga menjejaskan jalan cerita. Sekiranya ada yang tidak boleh terima idea saya, lebih baik sekiranya novel itu dikembalikan kepada saya.

"Bukan bermakna saya tidak dapat terima idea orang lain malah, saya benarkan penambahan untuk mencantikkan jalan cerita. Ubahlah dinding ataupun tingkap, namun jangan sesekali ubah tiangnya," katanya.

Tambah Ramlee, atas alasan itulah dia menubuhkan syarikatnya sendiri, Layar Sunan Sdn Bhd, di mana ia akan berperanan sebagai syarikat penerbitan filem untuk karya-karyanya yang akan datang termasuk karya dari novelis lain.

Walaupun tindakan Ramlee dalam memastikan karyanya itu terpelihara dilihat boleh mengundang rasa tidak puas hati untuk pihak lain, namun Nasir mengakui tindakan itu adalah wajar.

"Saya seronok bekerja dengan Ramlee dan produksi lain yang terlibat. Di sini, saya boleh nampak akan penglibatan penulis secara menyeluruh dan itulah sebenarnya yang perlu dilakukan oleh penulis asal.

"Dengan cara ini, orang lain tidak boleh berbuat sesuka hati terhadap karya berkenaan dan isu tidak puas hati tidak akan timbul selepas ini kerana dia adalah antara individu yang berhak memberi penjelasan kepada penonton dan pembaca," katanya.

'Casting' perlu adil

Dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi, Tombiruo bakal turun ke lokasi penggambaran dan sehingga kini, teka-teki mengenai pemilihan pelakon masih lagi menjadi rahsia produksi.

Meskipun ada yang mengandaikan beberapa nama barisan pelakon lelaki popular termasuk Zul Arifin, Bront Palarae dan Beto Kusyairy, namun bagi Ramlee, dia perlu berlaku adil dalam soal pemilihan.

Jelas Ramlee, bagi memuaskan hati kesemua pihak, dia dan barisan produksi memilih untuk mengadakan sesi uji bakat untuk membenarkan pemilihan itu dilakukan.

"Sesi uji bakat itu akan dilakukan sedikit masa lagi dan kami akan menyenaraikan beberapa nama untuk menggalas watak-watak dalam filem ini.

"Malah, sesi uji bakat itu tidak hanya diberikan kepada pelakon ternama sahaja kerana ianya akan dibuka kepada semua. Lagipun, untuk tonggak utama iaitu Ejim dan Amiruddin adalah karakter yang berbeza di mana Ejim berselindung di sebalik topeng.

"Sesiapa yang berminat dan mampu membawa watak dengan berkesan, dialah Tombiruo yang kami cari, tidak kira siapa pun dia," katanya lagi.

- Sumber:

No comments:

Post a Comment