Wednesday 4 February 2015

Nur Syuhada diganggu sejak sekolah

Nur Syuhada

Johari menyiram air mawar ke pusara anaknya selepas pengebumian selesai kira-kira jam 11 pagi, semalam.

JITRA - Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, Nur Syuhada Johari, 20, yang meninggal dunia akibat dikelar seorang kenalan lelaki dalam kejadian di Kilometer 228.2 Leburaya Utara-Selatan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang, Taiping, kelmarin, sering diganggu suspek sejak zaman persekolahan.

Bapa mangsa, Johari Hashim, 55, mendakwa, anak keduanya daripada enam beradik itu mengenali suspek ketika belajar di sekolah menengah dan tinggal berhampiran rumah mereka.

Malah, ketika Nur Syuhada di tingkatan lima, pemuda itu pernah bertindak ganas dengan memecah pintu rumah untuk membawanya keluar.

“Masa itu, kami dapat tahu suspek seorang penagih dadah dan pernah ditahan polis, jadi saya larang arwah berkawan dengannya. Saya juga pernah buat laporan polis ketika dia bawa lari anak saya.

“Lepas itu, saya dapat tahu budak lelaki ini sudah pergi bekerja di Melaka, kami rasa lega dan harap dia tak ganggu arwah. Tapi dia (suspek) tetap kacau anak saya, dia telefon, kalau tak jawab dia hantar mesej marah-marah dan ugut Nur Syuhada.

“Saya sendiri pernah bagi amaran pada dia supaya jangan ganggu. Bila saya marah dia senyap saja. Tak sangka dia bertindak sampai jadi macam ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherok Mokkan, Mukim Hosba, di sini, semalam.

Terdahulu, jenazah pelajar Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan itu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Cherok Mokkan kira-kira jam 11 pagi.

Johari berkata, isterinya, Nor Azlina Dawari, 44, menerima panggilan daripada seorang kawan Nur Syuhada mengatakan anaknya itu diugut dengan pisau oleh suspek supaya menaiki keretanya.

“Selepas itu, kami telefon ibu suspek minta dia pujuk anaknya hantar arwah pulang, tetapi ibu suspek kata anaknya tidak menjawab panggilan.

“Tak lama kemudian ayah suspek telefon saya, memaklumkan anak lelakinya itu telefon dan beritahu dia telah tikam Nur Syuhada,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kejadian berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, mangsa dikatakan diculik suspek di kampusnya sebelum ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar dan tikaman.

Difahamkan mereka sebelum itu dilihat pengguna jalan raya sedang bertengkar semasa dalam perjalanan menaiki sebuah kereta Proton Perdana menghala ke arah selatan.

Menceritakan kali terakhir bertemu ketika menghantar anaknya menaiki bas untuk pulang ke kampus baru-baru ini, Johari berkata, kelakuan Nur Syuhada agak pelik berbanding sebelum ini.

“Semasa dia nak naik bas, dia peluk dan cium saya kemudian dia ketawa, nampak dia pelik sikit. Tapi dia memang seorang yang ceria dalam keluarga.

“Kali terakhir saya bercakap dengan dia pula ialah sebelum dia bertolak ke Kelantan tiga minggu lalu untuk sertai misi bantuan banjir di sana. Dia telefon saya. Saya pesan jaga diri elok-elok dan jaga kesihatan.

“Dia turut menelefon isteri saya, bagi tahu suruh simpan duit sebab dia ada program untuk naik kapal pada cuti Tahun Baru Cina,” katanya.

Tambah Johari, pemergian Nur Syuhada dianggapnya sebagai mati syahid kerana anaknya itu cuba mempertahankan diri ketika diperlakukan sebegitu kejam.

“Selepas kejadian semalam (kelmarin), saya telefon Hospital Kuala Kangsar dan dimaklumkan doktor sedang berusaha untuk selamatkan anak saya.


Cucu pandai ambil hati

Sementara itu, nenek tiri mangsa, Rokiah Ismail, 57, berkata, pemergian Nur Syuhada amat dirasai kerana mereka banyak menghabiskan masa bersama kira-kira sebulan lalu.

"Dia ikut saya ke Kuala Lumpur sebulan lalu. Kami jalan-jalan, pergi tengok wayang dan beli-belah. Saya pun seronok sangat dia pandai ambil hati,” katanya yang tinggal di Kelantan.

Tambah Rokiah, selepas pulang dari Kuala Lumpur, Nur Syuhada menyatakan hasrat untuk ke Kelantan dan tinggal di rumahnya bila cuti belajar nanti.

“Walaupun saya nenek tirinya tetapi kami sekeluarga amat rapat. Arwah seorang yang ceria dan selalu menghiburkan kami.

“Saya harap orang yang melakukan perbuatan zalim ke atas cucu saya dikenakan hukuman berat," katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment