Saturday 14 February 2015

Pelajar terkejut dengan perlakuan 'lelaki gersang'

Tempat mangsa menunggu ibunya di tepi jalan berhampiran stesen minyak. Gambar kecil: Mangsa ketika menceritakan kejadian kepada media.

SEREMBAN – Seorang pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah sekolah di sini, terkejut dengan perlakuan tidak senonoh seorang lelaki gersang ketika mangsa sedang menunggu ibunya menjemput pulang dari sekolah.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang, Rabu lalu ketika dia sendirian sebelum dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta Proton Iswara yang berhenti secara tiba-tiba di tepinya.

"Ketika sedang menunggu ibu untuk mengambil saya di sebuah stesen minyak, tiba-tiba ada sebuah kereta berhenti di tepi saya.

“Saya tak tahu kenapa kereta itu berhenti dekat dengan saya, tapi saya nampak pemandunya seperti bercakap dengan seseorang menggunakan telefon,” katanya.

Bagaimanapun, kata remaja itu, dia terkejut apabila melihat lelaki berkenaan membuka zip seluarnya dan memegang kemaluannya.

Bimbang dan takut dengan kejadian itu, remaja tersebut beredar dari situ dan menunggu di tempat lain sebelum memaklumkan kepada ibunya yang kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Campbell.

Sementara itu, ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak pasti sama ada tindakan lelaki itu ditujukan kepada anaknya atau tidak, tetapi menyifatkan perlakuan tidak senonoh seperti itu adalah tidak wajar.

“Anak saya sempat mengambil nombor pendaftaran kereta lelaki berkenaan dan sebab itu saya membawanya membuat laporan polis supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment