Saturday 14 February 2015

Abdu Fatah terkedu Tok Guru lamar anak perempuan

Abdul Fatah Haron

RANTAU PANJANG – “Saya terkedu apabila mendengar lamaran daripada Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu melamar anak perempuan saya, ketika itu dia baru berusia 14 tahun,” kata Yang Dipertua Pas Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron.

Menurutnya, Allahyarham melamar anak perempuannya, Farah untuk anak lelakinya, Nik Mohamad Abduh.

Beliau berkata, anaknya belum menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), maka soal perkahwinan agak terlalu jauh dalam fikirannya ketika itu.

Namun katanya, berbeza dengan pendirian Allahyarham yang suka anak muda mendirikan rumah tangga di usia muda.

“Memikirkan keperibadian keluarga seorang ulama terulung dan keperibadian bakal menantu, saya bersetuju dengan lamaran tersebut.

“Alhamdulillah, mereka mendirikan rumah tangga dua tahun kemudian iaitu ketika anak saya berusia 16 tahun,” katanya.

Menurutnya, walaupun berkahwin di usia muda, Farah memperoleh keputusan cemerlang kelas pertama dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika menduduki peperiksaan di Kedutaan Malaysia di Mesir kerana mengikuti Nik Mohamad Abduh. 

Abdul Fatah yang juga bekas Adun Bukit Tuku berkata, antara keperibadian lain yang dimiliki Tok Guru adalah sifatnya yang tidak pernah bersangka buruk terhadap mana-mana pihak.

Menurutnya, ramai pihak mengambil kesempatan terhadap keperibadian Allahyarham dengan melemparkan spekulasi yang kadang-kala berbaur fitnah.

“Ramai dalam kalangan pemimpin lain yang terkena, malah saya sendiri pernah dipanggil kerana dikatakan menipu dalam pembahagian tanah pusaka.

“Walaupun terbukti ia hanya fitnah, namun Tok Guru tak pernah menaruh dendam,” katanya.

Selain itu, Abdul Fatah berkata, antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan adalah cadangan Tok Guru kepada memimpin Pas ketika itu berhubung sagu hati sekiranya mahu berkahwin dua.

“Walaupun isu ini agak sensitif bagi golongan wanita, namun ia mendapat sokongan penuh daripada Tok Guru sendiri,” katanya.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment