Saturday 14 February 2015

Alex pergi terlalu cepat, baru minggu lepas kami borak di telefon - U-Wei Hj Saari

Alex Komang meninggal dunia Jumaat setelah menghidap Hepatitis B. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Pengarah flem U-Wei Hj Saari mengakui dirinya berat untuk menceritakan perasaannya tentang pemergian pelakon terkenal Indonesia, Alex Komang.

Katanya pemergian Alex yang juga sahabat baiknya itu "terlalu mendadak" kerana baru sahaja minggu lepas beliau berborak dengannya melalui telefon dan tidak menyangka kematiannya terlalu cepat.

"Kali terakhir saya jumpa dia ialah di Jakarta. Pada ketika itu beliau lemah dan kurus... saya tanya sama ada beliau sakit.

"Baru lagi borak dalam telefon dengan dia minggu lepas, tak sangka penyakit tu melarat dengan cepat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Antara kenangannya bersama Alex termasuk mereka sering berbual di telefon tentang filem.

"Kehilangan Alex bukan sahaja sebagai seorang yang saya pernah bekerja, tetapi seorang kawan rapat," ujar U-Wei lagi.

Bagi pengarah filem Puteri Gunung Ledang, Saw Teong Hin pula, beliau amat terkejut tatkala mendapat berita tentang pemergian Alex.

"Saya sangat terkejut... kami sama umur. Saya dapat tahu dia sakit sejak dua minggu lalu," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Teong Hin, Alex seorang yang sangat baik dan kerap menghubunginya apabila datang ke Kuala Lumpur.

"Kali terakhir saya berjumpa beliau ialah kira-kira empat atau lima tahun lalu. Takziah kepada isteri dan keluarga beliau... semoga tabah," katanya.

Sementara itu, pelakon utama Puteri Gunung Ledang, Datin Seri Tiara Jacquelina turut meluahkan rasa sedih atas pemergian Alex yang diibaratkan seperti abang kandungnya sendiri.

Kata Tiara melalui WhatsApp, beliau terkilan kerana tidak kesampaian untuk membawa Alex ke konsert Puteri Gunung Ledang yang dijadualkan bulan hadapan.


Pelakon terkenal Indonesia Alex Komang dilaporkan meninggal dunia di Semarang, Indonesia pada Jumaat.

Anak saudaranya Izar Fauzi mengesahkan berita sedih itu di Rumah Sakit Umum Pusat, Kariadi Semarang, Indonesia, lapor Bisnis.com.

Menurut pihak keluarga, Alex Komang yang pernah berlakon filem Puteri Gunung Ledang itu, menghidap Hepatitis B, lapor detikHot.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment