Friday 23 January 2015

Tuduhan Chegu Bard mengarut, kata Syed Ali

Syed Ali Alhabshee

"Tuduhan Chegu Bard kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menjalin kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin sebagai karut dan pembohongan besar,".

Demikian reaksi Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengenai kenyataan pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard yang mendakwa Dr Mahathir menjadi punca sebenar kecelaruan politik negara.

“Apa kena mengena Najib dengan Anwar, ini semua karut dan cuba mengelirukan ahli-ahli parti, isu Daim juga tidak ada kaitan dengan Najib khususnya Umno,” katanya dalam blognya.

Beliau menjelaskan, Dr Mahathir telah berjaya membina kekuatan baru kepada negara, rakyat dan Umno selama lebih 22 tahun beliau menjadi perdana menteri serta berjaya mengangkat martabat orang Melayu di mata dunia.

Sehubungan itu beliau menyangkal keras tuduhan bahawa Dr Mahathir menjadi punca kepada kecelaruan politik dan pentadbiran negara kerana tuduhan tersebut hanyalah untuk memecahbelahkan perpaduan di kalangan ahli-ahli Umno.

“Pembangkang tidak ada kerja yang lebih bermanfaat untuk rakyat selain daripada memburuk-burukkan pemimpin Umno dan mencetuskan provokasi liar,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata , Chegu Bard sengaja melontarkan tuduhan tersebut dan menuduh Dr Mahathir mempunyai strategi bagi menjatuhkan Najib.

“Dia menamakan Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa Hitam dan Anwar Ibrahim sebagai antara mangsa buli, ini semua rekaan jahat pembangkang untuk memecahbelahkan Umno.

"Tuduhan jahat tersebut sengaja diada-adakan untuk mencemarkan nama baik Dr. Mahathir disamping usaha melaga-lagakan beliau dengan Najib," katanya.

Jelas beliau, Dr Mahathir mempunyai kebebasan dan ruang untuk memberikan pandangan dan teguran, malah teguran tersebut tidak bermakna beliau menyerang kepimpinan Najib.

Malah kata Syed Ali, beliau percaya Najib juga menerima pandangan dan kritikan daripada Dr Mahathir dengan berlapang dada dan menyifatkannya sebagai membina untuk kebaikan rakyat, negara dan parti.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment