Saturday, 31 January 2015

Telefon pintar Oppo banyak tiruan?

Oppo Malaysia hari ini telah mengeluarkan kenyataan, meminta para pengguna seluruh Malaysia untuk berhati-hati dengan beberapa produk tiruan yang dijual di pasaran tempatan. Menurut apa yang dikongsikan Oppo Malaysia, sebanyak 644 kes telah dilaporkan sehingga kini yang melibatkan produk tiruan.

Perkara ini dikenal pasti oleh Oppo apabila sejumlah produk tiruan hadir ke pusat khidmat mereka untuk dibaiki. Pelbagai model dikatakan terlibat, termasuk model telefon terkini seperti Find 7 dan juga Oppo N3.


Sebelum ini, kita sedia mendengar mengenai sejumlah produk tiruan Samsung dipasarkan dan dijual di Malaysia, membuatkan pengguna lebih berhati-hati ketika mendapatkan produk jenama Samsung atau Apple. Kini, dengan Oppo yang memasarkan produk mereka secara meluas di Malaysia, ia turut menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab ini – pada masa yang sama membuatkan pengguna tertipu.

Oppo Malaysia mengatakan mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sebarang penjual yang menjual produk tiruan dengan jenama Oppo. Pada masa yang sama, pengguna juga diminta untuk melihat dan mendapatkan produk Oppo daripada pengedar rasmi mereka seluruh negara berbanding mendapatkannya daripada penjual yang tidak sah.

Jika anda ingin membuat laporan mengenai produk tiruan Oppo, atau ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk Oppo, boleh hubungi talian rasmi mereka di 1800-88-6776.

- Sumber: Amanz

No comments:

Post a Comment