Saturday, 31 January 2015

Caps kayu pengukur tahap gaji

Safee Sali dikatakan pemain menerima bayaran tertinggi sepanjang musim lalu.

APA? Gaji Safee Sali RM120,000? Norshahrul Idlan Talaha (Mat Yo), RM85,000? Amri Yahyah RM85,000? Indra Putra Mahyuddin RM75,000?

Lihatlah, betapa mewahnya mereka dengan hanya bekerja menyepak bola dan kehidupan menjadi senang lenang dengan hanya sebiji bola.

Mungkin itulah agaknya yang diperkatakan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air apabila melihat kepada statistik anggaran gaji pemain-pemain berkenaan, minggu lalu.

Justeru, pasti ramai bercita-cita mahu menjadi seorang pemain bola sepak yang digambarkan kehidupan sebagai pemain bola sepak sentiasa dipenuhi dengan limpahan kemewahan.

Apa tidaknya, dengan anggaran pendapatan beberapa pemain kebangsaan minggu lalu yang jelas memaparkan ada pemain yang memiliki pendapatan dengan secara purata ‘lima angka’ ke atas.

Namun tahukah anda, apa kriteria sebenar yang perlu dimiliki oleh seseorang pemain bola sepak di negara ini untuk memiliki jumlah pendapatan sedemikian?

Apakah dengan hanya memiliki nama termasuk bilangan caps yang banyak mewakili negara boleh dijadikan pengukur untuk menentukan tahap sebenar gaji yang diperoleh?

Atau mungkin ada yang melihat dari segi kelincahan serta kehebatan seseorang pemain itu beraksi di tengah padang wajar menjadi penentu kepada pendapatan pemain-pemain berkenaan?

Mengulas lanjut, pengurus serta ketua jurulatih skuad Liga Super Perak, Datuk M Karathu berkata, semua perkara berkenaan perlu diselaraskan dengan prestasi semasa pemain bagi mengoptimumkan kemampuan masing-masing.

Menurutnya lagi, amalan disiplin tinggi yang diamalkan alam kalangan pemain yang akan mempengaruhi senario berkenaan.

“Sebenarnya tidak ada sebarang keistimewaan yang diberikan kepada pemainpemain bola sepak pada hari ini.

“Sekiranya mereka (pemain), ponteng latihan tanpa sebarang alasan munasabah tidak ada sebarang keistimewaan yang diberikan kepada pemain-pemain berkenaan, termasuklah dari segi pembayaran gaji mereka.

“Sesiapa sahaja yang berjaya menambat hati saya, dia akan diberi peluang bermain. Tidak kiralah dia hanya pemain simpanan atau pemain muda. Jika berjaya yakinkan saya, you earn the place (kamu beri kamu dapat),” katanya kepada Ultras Sinar.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, pihaknya tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung isu berkenaan.

Katanya, isu berkenaan sebenarnya telah menjadi dilema bagi banyak pasukan di negara ini khususnya bagi menentukan kadar gaji yang berpatutan.

“Sebenarnya, saya tak boleh komen isu gaji ni. Jadi dilema banyak negeri. Apa pun, bagi keperluan pasukan negeri secara keseluruhannya, didapati telah melibatkan RM1 juta iaitu perbelanjaan bagi skuad Liga Super, Piala Presiden, Piala Belia, Pasukan Futsal Lelaki dan Wanita,” katanya lagi.

Apex kumpul 30 caps sepanjang karier

PENJAGA gol nombor satu kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat muncul selaku pemain Kelantan paling banyak mengumpul caps sepanjang pembabitannya bersama skuad kebangsaan sejak lima tahun lalu.

Khairul Fahmi atau dikenali Apex memulakan kerjaya bersama skuad Piala Presiden Kelantan pada tahun 2006 sehingga kini meraih 30 caps dalam pelbagai kejohanan dan perlawanan persahabatan antarabangsa bersama Harimau Malaya itu.

Kredibiliti pemain kelahiran Kota Baharu itu sememangnya sukar digugat apabila dia telah di nobat selaku Penjaga Gol Terbaik sempena Anugerah Bola Sepak Kebangsaan empat kali berturut-turut sejak 2010 hingga 2013.

Pernah memikat hati pengurusan kelab Belanda, PSV Eindhoven tidak lama dahulu, Khairul Fahmi tampil pada perlawanan kompetitif pertama menyertai mewakili skuad bawah 23 tahun dalam Sukan Asia 2010.

Penjaga gol berusia 26 tahun itu juga menjadi watak penting membantu skuad negara menamatkan kemarau pingat emas dalam Sukan Sea sejak 1989 apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk Malaysia menang 4-3 ke atas Indonesia pada perlawanan akhir.

Malah Khairul Fahmi turun menjadi pemain utama yang membolehkan Harimau Malaya meraih kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010 buat pertama kali menerusi kemenangan 4-2 ke atas Indonesia.

Bukan jaminan, prestasi diutamakan

JUMLAH caps tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur buat pemain yang dipilih untuk menyarung jersi kebangsaan.

Ia diakui oleh pemain tengah berpengalaman, Shahrulnizam Mustapha, yang menjelaskan prestasi semasa seseorang pemain itu seharunya menjadi keutamaan.

Jelas pemain Felda United itu, jurulatih kebangsaan perlu memainkan peranan yang penting dalam melihat perkembangan seseorang pemain.

“Bagi saya jumlah caps itu tidak memberi makna buat pasukan kebangsaan. Apa yang penting adalah prestasi semasa pemain itu.

“Tidak adil buat pemain lain jika faktor caps menjadi pegangan seseorang jurulatih,” katanya.

Mengambil contoh pemain tengah Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang tidak dipanggil ketika Datuk K Rajagobal menjawat jawatan selaku jurulatih Harimau Malaya, Shahrulnizam menjelaskan, situasi itu mendatangkan kerugian buat pasukan negara.

Namun menurut Shahrulnizam yang pernah mewakili pasukan negara sebanyak 22 kali itu, atas desakan peminat, nama kapten The Red Warriors itu kembali tersenarai.

“Itu contoh yang berlaku sebelum ini. Caps tidak memberi jaminan kerana prestasi itu memainkan peranan yang penting.

“Seorang jurulatih perlu mengambil risiko dan bukannya perlu takut dalam membentuk dan mempercayai kebolehan pemain baru,” katanya.

Sejarah caps

Di benua Eropah, caps adalah metafora untuk seseorang pemain yang melakukan penampilan pada perlawanan peringkat antarabangsa. Negara United Kingdom umpamanya menghadiahkan topi (caps) kepada pemain mewakili pasukan dalam acara bola sepak.

Catatan sejarah menulis, semasa perlawanan antarabangsa pertama membabitkan England dan Scotland pada tahun 1872, pemain Scotland memakai cowls anakala England mengenakan topi sekolah.

Amalan ini buat julung kali diluluskan pada 10 Mei 1886 untuk sebarang pertandingan bola sepak selepas dicadangkan Pengasas Corinthians, N Lane Jackson.

Menurutnya, semua pemain yang mengambil bahagian untuk England akan diberikan topi sutera putih dengan sulaman warna merah di bahagian hadapan.

Ini kemudiannya dipanggil Caps International (Caps antarabangsa).

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment