Saturday, 31 January 2015

Kami belum bercerai - Farah Asyikin

FARAH bersama suami Zaahier. - Foto gua.com.my

KUALA LUMPUR: Jika tidak berlaku kes perceraian yang banyak membabitkan artis semalam di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur, barangkali permasalahan kisah rumah tangga Farah Asyikin dan Zaahier Stanley tidak akan dihidu.

Mereka berkahwin pada 15 Februari 2013 di kediaman keluarga Farah di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur. Perkenalan yang mula berputik di laman sosial Twitter pada 28 November 2012 membuka lembaran baru dalam hidup mereka.

Suami Farah adalah duda anak dua daripada komuniti Melayu Cape kelahiran Afrika Selatan yang juga pelumba basikal profesional dan menceburi bidang pertanian di negaranya. Bermula sebagai pengikut setia Farah di Twitter, hubungan itu berubah ke fasa istimewa seterusnya.

Ia perkahwinan kedua Farah. Cuma tanpa disangka, perbualan menerusi telefon dengannya tadi membuka cerita baru, beliau sebenarnya sudah bergelar ibu kepada Ebrahim Owais berusia lapan bulan yang menjadi lambang cinta Farah dan Zaahier.

Lalu apa pula masalahnya sehingga kisah rumah tangga mereka di bawa ke mahkamah? Farah yang sudah lama sepi di arena seni selepas berkahwin dan berhijab merungkai sedikit persoalan yang timbul sekali gus meleraikan apa yang menjadi tanda tanya.

FARAH bersama anaknya. - Foto Facebook Farah Asyikin


"Kami belum bercerai. Kami sudah tidak sebumbung sejak lebih kurang tujuh bulan. Saya kini tinggal dengan keluarga. Kami sekarang dalam fasa mencari jalan terbaik untuk menjernihkan rumah tangga. Apa yang terjadi kepada kami terlalu peribadi.

"Insya-Allah, saya mengharapkan yang terbaik untuk perkahwinan kedua ini. Kalau diizinkan kami tak mahu berpisah. Mungkin anak antara sebab kuat kenapa perlu mempertahankan semua ini. Kehidupan saya kini masih seperti biasa dan Alhamdulillah keluarga memberi sokongan jitu kepada saya," katanya.

Selepas sekian lama tidak muncul dengan cerita baru, Farah, 35, mengakui seakan pelik apabila mula menjadi perhatian. Tambahan pula apabila kisah peribadi dan rumah tangganya yang menjadi persoalan ramai.

"Ini perkahwinan kedua saya. Jadi saya tahu apabila masalah ini timbul, akan ada yang pantas menyalahkan saya itu dan ini. Tapi sekarang saya hidup bukan atas kapasiti seorang diri lagi, saya ada anak. Jadi saya kena fikir cara terbaik untuk tangani permasalahan ini.

"Saya tak mahu perkahwinan ini jadi seperti yang dulu. Hanya keluarga dan Zaahier saja tahu apa yang kami lalui. Selepas saya berhijrah, saya tak cepat menghukum orang. Jadi bila ada masalah sebegini, saya harap orang doakan yang terbaik.

"Jangan sewenang-wenangnya menuduh itu dan ini tanpa usul periksa. Kelak ia akan kena batang hidung sendiri. Kita sama-sama jadi manusia yang baik, ...doa yang baik. Sekali lagi saya tekankan saya mengharapkan kesudahan yang baik untuk permasalahan ini," katanya yang ke mahkamah berkenaan sejak dua bulan lalu.

- Sumber: BH Online

No comments:

Post a Comment