Saturday, 31 January 2015

Kevin Hart menyerlah


KETIKA majlis perkahwinan, masyarakat Barat sememangnya terkenal dengan cara menjemput kawan baik sebagai pengiring majlis perkahwinan mereka.

Bukan sahaja pengantin perempuan, bahkan pengantin lelaki juga mempunyai pengiring mereka ketika majlis perkahwinan.

Namun bayangkan jika mereka tidak mempunyai rakan baik dan pasangan mereka pula menetapkan untuk membawa tujuh pengiring pada majlis perkahwinan tersebut, begitulah yang dilalui oleh Doug Harris (Josh Gad) dalam filem terbaharu arahan Jeremy Garelick, The Wedding Ringer.

Selain Gad, fi lem ini turut diterajui oleh Kevin Hart, Olivia Thirlby, Kaley Cuoco, Alan Ritchson dan ramai lagi. Ia mengisahkan tentang seorang bakal pengantin lelaki, Doug yang tidak mempunyai pengapit untuk majlis perkahwinannya yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Dia kemudiannya terpaksa mengupah seorang lelaki dari sebuah syarikat yang memberikan khidmat khas bagi para pengantin sepertinya.

Namun tanpa disangkanya, dia dan lelaki tersebut akhirnya menjadi kawan baik.

Mempertaruhkan beberapa pelakon komedi dan Hart selaku teraju utama, pada pandangan penulis adalah satu pilihan yang cukup bijak.

Apatah lagi, Hart yang memang terkenal dengan watak komedi sehingga berjaya membuat penonton pecah perut dengan aksinya yang bersahaja.

Dia yang membawakan watak sebagai Jimmy di dalam filem ini, sebelum itu terlebih dahulu muncul dengan pelbagai watak sebagai individu yang menyediakan perkhidmatan pengiring pengantin bagi mereka yang tidak mempunyai kawan baik.

Ada sahaja keletahnya yang akan membuatkan penonton ketawa geli hati. Dan sebaik berjumpa Doug, dia yang juga pemilik The Best Man Inc, cuba sedaya upaya untuk memuaskan hati Doug dan kononnya akan memilih lelaki terbaik sebagai calon kawan baik Doug.

Namun hakikatnya salah seorang daripada lelaki yang dipilih adalah seorang banduan yang telah lari dari penjara.

Manakala salah seorang pula adalah seorang lelaki yang ingin lari daripada bebelan isterinya.

Lawak spastik

Sudah namanya fi lem komedi, apa yang penulis katakan, jika anda mencari sebuah filem untuk melepaskan tekanan, fi lem ini adalah salah satu filem menarik yang boleh anda tonton pada hujung minggu ini.

Biarpun ada ketikanya lawak yang diselitkan spastik dan ada ketikanya agak lucah, namun ia tidaklah membuatkan penonton berasa jelek atau bosan.

Sebaliknya, lawak yang kadangkala tampak spontan inilah yang akan membuatkan penonton tergelak.

Namun adakah misi Doug dan Jimmy berjaya?

Adakah Doug akhirnya akan berkahwin dan diiringi rakan-rakan baiknya? Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan anda.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment