Wednesday 14 January 2015

Kotak Hitam: Siasatan data CVR, FDR ambil masa dua minggu

Analisis kotak hitam FDR dan CVR akan mengambil masa sehingga dua minggu sebelum rumusan isi kandungannya didedah kepada umum. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja analisis alat perakam data penerbangan (FDR) dan perakam suara kokpit (CVR) pesawat AirAsia QZ8501 akan mengambil masa sehingga dua minggu sebelum rumusan isi kandungannya didedah kepada umum.

Menurut Ketua Penyiasat Majlis Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKP) Indonesia, Mardjono Siswo Suwarno, pihaknya perlu terlebih dahulu memeriksa kedua-dua kotak hitam itu bagi memastikan ia dalam keadaan baik.

“Jika ia disahkan dalam keadaan baik, tempoh masa lebih kurang setengah jam diperlukan untuk memuat turun kandungan data alat tersebut ke dalam komputer.

“Kandungan data FDR dalam bahasa kod komputer itu perlu diterjemah dan seterusnya analisis akan mengambil masa di antara satu hingga dua minggu,” ujarnya.

Tambah Mardjono, antara maklumat penting daripada kedua-dua alat tersebut adalah tentang pergerakan pesawat dan juga rekod percakapan juruterbang.

Mardjono yang diwawancara dalam program Buletin AWANI sebentar tadi turut memberitahu bahawa perincian maklumat tersebut tidak akan didedahkan keseluruhannya kepada umum kerana ada prosedur antarabangsa yang perlu diikuti.

“Bagaimanapun, intipati ringkas kandungan data itu akan diketahui orang awam apabila diumumkan, termasuklah yang boleh didapati daripada laman web rasmi KNKP,” ujarnya.

Penganalisis dan penyiasat Indonesia kini menjalankan kerja-kerja bedah siasat data tersebut dengan kerjasama pakar penerbangan dari Perancis, dan usaha itu turut disertai penasihat daripada pihak AirBus.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment