Wednesday 14 January 2015

Banjir: 10,000 penduduk di Kudat terjejas

Keadaan banjir di Pitas yang hampir menenggelamkan Tadika Kemas.

KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 penduduk daripada lapan buah kampung selain sebuah pekan di Kudat, Sabah terjejas banjir berikutan hujan lebat tidak henti-henti sejak petang semalam.

Kampung-kampung yang terlibat itu adalah Kampung Gumpa, Kampung Bak-Bak, Kampung Korina, Kampung Tamalang, Kampung Sikuati, Kampung Barambangon, Kampung Andap Jawa dan Kampung Pangaraban selain pekan Pitas.

Pegawai Daerah Kudat, Sabdin Ibrahim berkata, keadaan itu juga menyebabkan Jalan Tamalang-Sikuati, iaitu jalan utama yang menghubungkan Kota Kinabalu ke Kudat tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan.

"Paras air ketika ini meningkat daripada 1.9 meter kepada 2.31 meter, namun, belum ada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir," katanya.


Di Pitas, Pegawai Daerah Bubudan Oti Majalu berkata sebuah pusat pemindahan banjir dibuka di Sekolah Kebangsaan Rukom bagi menempatkan 103 orang daripada 33 buah keluarga.

"Situasi masih terkawal tetapi kami dalam langkah berjaga-jaga kerana hujan masih belum berhenti dan dikhuatiri kawasan dilanda banjir bertambah," katanya.

Sementara itu, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir di Kudat, Pitas dan Sandakan yang akan beroperasi 24 jam bagi memantau, melaporkan status dan menyelaras kerja-kerja berkaitan bekalan elektrik di kawasan berkenaan.

SESB dalam satu kenyataan memaklumkan penutupan bekalan elektrik akan dilaksanakan sebagai langkah keselamatan sekiranya paras air meningkat sehingga boleh membahayakan pengguna selain mengakibatkan kerosakan pepasangan elektrik.

Pengguna boleh menyalurkan maklumat ke talian Hotline SESB di 15454 ataupun 088-515000untuk tindakan segera.

Sementara itu, banjir di negeri-negeri lain tidak menunjukkan banyak perubahan dengan di PERAK, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 1,918 orang daripada 525 keluarga setakat petang ini berbanding 1,940 orang daripada 536 keluarga tengah hari tadi.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata, jumlah mangsa banjir di Perak Tengah masih kekal 1,620 orang manakala di daerah Hilir Perak menurun kepada 188, Manjung (76), Hulu Perak (34) dan kesemua mereka ditempatkan di 11 pusat pemindahan banjir.

Di PAHANG, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Temerloh menurun sedikit kepada 930 orang berbanding 981 orang tengah hari tadi.

Di KELANTAN, jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri berkata jumlah keseluruhan mangsa banjir kekal seperti tengah hari tadi dengan 1,415 daripada 343 keluarga masih ditempatkan di 21 pusat pemindahan.

Di JOHOR, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri menyatakan sebuah keluarga yang terdiri daripada lima orang masih berada di pusat pemindahan di Balai raya Kampung Spang Loi, Mukim Buloh Kasap, Segamat. - BERNAMA

- Sumber: Berita Harian 

No comments:

Post a Comment