Wednesday 14 January 2015

Kenapa tahan Paulsen macam dia penjenayah besar?

SYED IBRAHIM: Kenapa tahan Paulsen macam dia penjenayah besar? 

KUALA LUMPUR: Kaedah berdialog dilihat lebih baik berbanding serbuan melibatkan 20 anggota polis semasa penahanan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen baru-baru ini.

Ketua Penerangan Keadilan, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, serbuan itu sekali gus menggambarkan Paulsen seolah-olah seorang penjenayah besar yang cuba melarikan diri.

"Walaupun saya tidak sepenuhnya bersetuju dengan kenyataan umum Paulsen yang boleh ditafsir menghina secara serkap jarang, namun saya juga tidak bersetuju beliau ditahan begitu rupa.

"Apatah lagi disusuli dengan tweet Ketua Polis Negara tentang penangkapannya seolah-olah penjenayah besar yang cuba melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Paulsen menerusi catatan di laman Twitternya pada Jumaat lepas berkata: "Jakim sedang mempromosikan ekstremisme pada setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia".

Kenyataan itu bagaimanapun telah dipadam setelah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak.

Kata Syed Ibrahim, pihak berkuasa perlu memahami beberapa perkara dasar di dalam konteks Malaysia sebagai negara majmuk.

"Saya percaya perkara ini boleh ditangani dengan cara berdialog secara paling baik (ahsan) dan berhikmah sebagaimana yang disarankan oleh Islam.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim turut menyarankan semua pihak agar kembali kepada dasar Islam selain melihat ia hanya tinggal dasar jika kefahaman dan pelaksanaannya bercelaru atas motif politik dan emosi sentimen semata-mata.

Pada Selasa, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada pihak tertentu agar tidak mempolitik atau memanipulasikan isu tangkapan peguam Eric Paulsen sehingga boleh menjejaskan keselamatan awam.

- Sumber: Astro Awani (Media Statement)

No comments:

Post a Comment