Erra Fazira dan Aleesya - Gambar Fail
KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara Erra Fazira meminta supaya jangan mendesaknya untuk memberikan sebarang komen mengenai tindakan bekas suaminya, Engku Emran yang meluahkan kata-kata seolah-oleh mahu merujuk semula hubungan mereka yang sudah bercerai di laman sosial Instagram.
Erra Fazira berkata dia kini sedang membina kekuatan diri dan tidak mahu berhadapan dengan isu itu.
"Rasanya, saya tidak ada apa-apa yang perlu dikomen lagi. Saya minta jangan mendesak saya kiri, kanan, depan dan belakang.
"Bayangkan, saya seolah-olah baru hendak membina kekuatan tiba-tiba dipaksa berhadapan dengan isu baru," katanya kepada murai.com.my menerusi aplikasi Whatsapp.
Pada Sabtu lalu, Emran menerusi laman Instagram miliknya telah memuat naik gambar anak mereka Engku Aleesya, 5, yang memakai baju T dengan tulisan #prayformomandayah.
Dalam kapsyen foto tersebut, Emran telah meluahkan hasratnya ingin memenangi hati Erra semula dan mengaku masih mempunyai perasaan cinta terhadap bekas isterinya itu.
Kenyataan Emran membuatkan peminat memberi reaksi positif dengan meletakkan hashtag #prayformomandayah sebagai tanda mendoakan agar hubungan kedua-dua pasangan itu terjalin semula.
Pun begitu, Erra memberitahu hubungan komunikasinya dengan Engku Emran semakin baik selepas sah bercerai pada 18 Februari lalu.
"Saya bersyukur sangat setelah bercerai, komunikasi kami jauh lebih bagus. Allah lebih mengetahui kenapa dan mengapa," luahnya.
Erra berkata dia dan Emran kini mahu memberi sepenuh perhatian kepada pembesaran anaknya, Aleesya.
"Matlamat saya sekarang adalah untuk mendidik dan menjaga Aleesya dengan sebaiknya dari kedua pihak. Malah kami sedang mengatur sebaiknya untuk perkembangan sihat Aleesya," jelasnya.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007. -- Astro Gempak
Astro Awani
No comments:
Post a Comment