Wednesday, 16 April 2014

'Van bergerak, saya jerit..ibu..ibu'

'Van bergerak, saya jerit..ibu..ibu'
Asiah (kanan) ketika melawat Sakinah (kiri) sambil diperhatikan Nor Aisah.


JOHOR BAHRU - “Saya di belakang..tiga kawan main di depan, lepas tu van bergerak,” ujar Sakinah Roslan, 5.

Sakinah antara lima mangsa lain yang terselamat dalam tragedi van sekolah yang dinaiki mereka menggelongsor sebelum menjunam ke dalam loji kumbahan di Taman Universiti, di sini, kelmarin.

Menurutnya, terkejut dengan keadaan itu, kesemua rakannya menjerit meminta pertolongan termasuk dia yang menjerit memanggil nama ibunya berikutan tidak pernah berdepan dengan situasi cemas sedemikian.

“Saya takut..saya jerit ibu..ibu..kawan-kawan pun jerit. Kami semua menangis,"katanya.

Menurut Sakinah, dia sedar ada pihak datang menyelamatkan semua murid yang berada di dalam van berkenaan.

Sakinah ditemui semasa lawatan Exco Johor, Asiah Md Ariff dan Datuk Ayub Rahmat di Wad Kanak-kanak Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, semalam.

Dalam pada itu, ibu Sakinah, Nor Aisah Kasim, 42 berkata, dia mengetahui kejadian itu setelah menerima panggilan daripada suaminya, Roslan Mohd Shah, 33 sekitar jam 11.50 pagi.

“Ketika itu, saya sedang tidur kerana baharu pulang dari kerja dan rasa sangat terkejut serta bimbang dengan keadaan anaknya dan terus bergegas ke lokasi kejadian.

“Saya risau kerana fikir bukan setakat Sakinah sahaja yang masuk dalam loji itu tetapi kakaknya yang bersekolah pra sekolah Sekolah Kebangsaan Taman Universiti turut bersama kerana kedua-duanya menaiki van yang sama.

“Sebab saya difahamkan selalunya pemandu van itu ambil murid di sekolah dahulu, sebelum ambil murid di tadika. Jika tidak, mungkin ramai lagi mangsa,” katanya yang bersyukur anaknya terselamat dan reda dengan kejadian itu.

Sementara itu, Asiah berkata, pihaknya akan memastikan pintu pagar loji kumbahan yang rosak itu digantikan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang.

“Ini adalah insiden yang pertama kali berlaku selepas tadika berkenaan beroperasi lebih lima tahun. Kita masih menunggu siasatan lanjut berhubung perkara ini,” katanya.

Mengenai tadika berkenaan yang ditutup semalam, beliau berkata, ini disebabkan guru-guru serta murid-murid masih terkejut dengan insiden yang tidak disangka itu dan ia akan kembali beroperasi esok (hari ini).

Terdahulu, seorang mangsa Muhammad Azri Aqif Azhar, 4 telah meninggal dunia dalam insiden menyayat hati itu.

Manakala, selain Sakinah, empat lagi mangsa masih dirawat di HSA iaitu Muhammad Hadif Syauqi Samsol Akamal, 5; Daniel Asyraf Abdullah, 5 dan Danial Aiman Hakimi Md Gefri serta Nur Aima Abd Razak, 5 ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment