Feri yang sedang karam - Foto AP
SEOUL: Pegawai pasukan pengawal pantai Korea Selatan mengesahkan pihaknya telah menemui tiga mayat penumpang dalam insiden feri karam awal hari ini.
Pihak berkuasa juga berkata angka terkini mereka yang masih hilang adalah 293 orang setelah hanya 164 penumpang berjaya diselamatkan daripada feri yang sedang membawa 459 penumpang itu.
Angka itu berbeza dengan jumlah yang diumumkan sebelum ini iaitu 368 orang telah diselamatkan.
“Selebihnya dianggap masih hilang,” kata seorang jurucakap kerajaan kepada agensi berita AFP.
Jumlah penumpang juga disahkan hanya 459 penumpang, berbanding laporan awal sejumlah 477 penumpang.
Setakat ini dua identiti penumpang yang meninggal dunia telah disahkan sebagai Park Ji-young, 22, anak kapal feri terbabit dan Jung Cha-woong pelajar tahun dua Sekolah Tinggi Ansan.
Manakala identiti mangsa ketiga sedang dipastikan pihak berkuasa.
Mereka yang terselamat berkata kemungkinan masih ada lebih 100 penumpang di dalam feri terbabit yang hampir karam sepenuhnya.
Selain itu laporan mengatakan 27 yang lain dalam keadaan kritikal. Mereka telah dikejarkan ke Hospital Besar Hankook, Hospital Mokpo Hankook dan Hospital Besar Haenam.
Feri terbabit dikatakan sedang membawa 325 pelajar menuju Pulau Jeju sebelum memberikan isyarat kecemasan pada 8.58 pagi waktu tempatan iaitu ketika belayar sekitar 20 kilometer dari Pulau Byeongpoong.
Sejurus berita diterima, kapal pengawal pantai, kapal dagang dan beberapa helikopter telah dikerahkan dalam operasi menyelamat itu.
Menurut seorang penumpang, mereka mendengar satu bunyi yang kuat sebelum feri itu terhenti. --AFP
No comments:
Post a Comment