Saturday 15 March 2014

MH370: Kementerian Kesihatan siap siaga hadapi sebarang kemungkinan


KUALA LUMPUR: Pasukan Kesihatan Awam, Pasukan Kesihatan Mental dan Respon Psikososial (MHPRT), Pasukan Perubatan dan Pasukan Perubatan Forensik telah diletakkan dalam keadaan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam krisis kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS). 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui ‘Crisis Preparedness and Response Centre’ (CPRC) Kebangsaan, telah menerima maklumat dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai kejadian kehilangan pesawat tersebut pada pagi 8 Mac yang lalu.

“Pesawat yang membawa seramai 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal telah dilaporkan hilang dari radar Pusat Kawalan Trafik Udara Subang dan kita telah mengaktifkan Bilik Gerakan di CPRC Kebangsaan pada hari yang sama dan beroperasi dari 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari bagi menyelaras dan memantau aktiviti kesiapsiagaan dan respon oleh KKM,” kata Subramaniam dalam satu kenyataan medianya kepada Astro Awani.

“Pasukan-pasukan tersebut diletakkan dalam keadaam “standby” untuk dimobilisasikan pada bila-bila masa yang diperlukan,”.

MHPRT serta Pasukan Perubatan telah diaktifkan sejak hari kejadian dan ditempatkan di Hotel Everly Putrajaya.

“Terdapat lapan pasukan MHPRT yang terdiri dari lima pegawai bagi setiap pasukan bersama-sama dengan Pasukan perubatan yang terdiri dari dua pegawai bagi setiap pasukan yang bertugas secara bergilir sepanjang 24 jam setiap hari bermula dari Sabtu lalu,”.

Mereka berperanan untuk memberikan perkhidmatan sokongan psikososial dan perubatan kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal, ‘care givers’ yang ditugaskan untuk menjaga ahli keluarga penumpang dan anak kapal terbabit serta sahabat atau kenalan kepada mangsa kejadian ini.

Kes-kes yang memerlukan rawatan dalam wad akan dirujuk ke hospital kerajaan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

KKM juga bekerjasama dengan pihak MAS untuk memberikan perkhidmatan respons psikososial kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal serta ‘care givers’ yang ditempatkan oleh pihak Malaysia Airlines di lokasi yang lain.

Bermula dari Sabtu lalu, sejumlah 58 kes pula telah diberi rawatan pesakit luar dan kaunseling mengikut keperluan oleh Pasukan Perubatan semasa menghadapi tempoh krisis ini.

“Daripada jumlah tersebut, sejumlah empat kes telah dirujuk iaitu dua kes kecemasan yang dirujuk ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya iaitu satu kes asma dan satu kes mengalami sakit dada (panic attack) dan dua kes biasa iaitu demam,”.

“Sebanyak 16 kes telah diberi intervensi psikososial yang bertujuan untuk membantu menangani masalah emosi yang dihadapi,”.

Dari jumlah tersebut, satu kes merupakan kes memerlukan rawatan lanjut dari aspek psikososial iaitu Stress Induced Hyperventilation yang menunjukkan tanda keresahan amat teruk dan telah dirujuk ke Hospital Putrajaya.

Pesakit kini berada dalam keadaan yang stabil dan sedang dipantau oleh Pasukan Kesihatan Mental dan Respon Psikososial di Hotel Everly.

Selain dari itu, dua sesi terapi secara berkelompok telah dilaksanakan di hotel di mana ahli keluarga kepada anak kapal ditempatkan dengan dihadiri sejumlah 44 orang “care givers” kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat.

Terapi ini telah dapat membantu mereka memberikan kelegaan, ketenangan emosi. Sesi terapi yang telah dilaksanakan ini juga akan membantu mereka supaya lebih yakin dan bersedia untuk memberikan sokongan kepada ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal terbabit.

Sesi terapi berkelompok secara berkala akan dilaksanakan kepada care givers dan ahli keluarga.

KKM juga turut mengalu-alukan sahabat handai kepada ahli keluarga penumpang dan anak-anak kapal untuk mendapatkan khidmat kaunseling sekiranya diperlukan dan akan terus bekerjasama dengan semua agensi yang terlibat dalam melaksanakan aktiviti perubatan dan respons psikososial supaya perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan berkesan dapat diberikan.

ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment