Saturday, 15 March 2014

Trauma dirotan guru hingga lebam

Trauma dirotan guru hingga lebam
Neelalaawathi (kiri) menunjukkan kesan lebam pada tangan anaknya, kesan dirotan guru terbabit.


IPOH – Seorang murid tahun tiga sebuah sekolah di sinimendakwa dipukul tanpa sebab hingga lebam oleh guru kelasnya kelmarin.

Ibu mangsa, G Neelalaawathi, 33, berkata, dia terkejut apabila anak lelakinya mengadu dirotan gurunya hingga trauma untuk ke sekolah.

Menurutnya, dia terkilan apabila guru berusia 30an tahun terbabit mengakui memukul anaknya dengan seorang lagi murid hanya untuk melepaskan geram.

“Rakan anak saya dipukul di tapak tangan tetapi anak saya dipukul di lengan sehingga lebam. Saya menyedari kesan itu selepas anak saya pulang dari sekolah.

“Kami terus jumpa guru kelas itu dan terkejut apabila dia beri alasan tidak munasabah atas perbuatannya, malah tindakan tersebut bukan melibatkan pembelajaran," katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak di sini, semalam.

Neelalaawathi berkata, ia insiden kedua membabitkan guru terbabit tidak dapat mengawal emosi hingga menggunakan rotan terhadap anak ketiganya itu.

Katanya, kejadian pertama berlaku Januari lalu apabila anaknya dirotan di tapak tangan hingga murid itu tidak boleh menggenggam pensel namun perbuatan guru pendidikan moral dan matematik itu dimaafkannya.

“Sikapnya kali ini dilihat agak keterlaluan dengan melepaskan geram kepada anak saya. Lebih menyedihkan, guru besar tidak mengambil tindakan terhadap guru terbabit,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, R Ragu, 39, mendakwa terkejut apabila guru terbabit menawarkan sejumlah wang kepadanya supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap sikap keterlaluannya itu.

“Saya menerima panggilan dari guru terbabit kira-kira jam 7.40 pagi tadi (semalam) dan dia menawarkan wang sebanyak RM200 sebagai ganti rugi selepas memukul anak saya,” katanya.

Menurutnya, selepas dirotan guru itu, anaknya mengalami kesakitan di tangan serta takut untuk pergi ke sekolah.

“Saya meminta pihak Jabatan Pelajaran Negeri mengambil tindakan segera terhadap guru berkenaan yang bertindak di luar batasan dan saya tidak mahu pelajar-pelajar lain menjadi mangsa emosi guru terbabit.

Susulan kejadian itu, dia membawa anaknya membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini sebelum membawa kanak-kanak itu menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment