Saturday, 15 March 2014

Tentera laut India perluas carian MH370 hingga ke pantai Chennai

Gambar Fail


NEW DELHI: Tentera Laut India memperluas pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang hingga ke pantai Chennai di bandar raya selatan India.

Corak pencarian semasa MH370 oleh Tentera Laut India. Dua kawasan baharu ditambah pada Jumaat bersama-sama pantai Chennai, kata koresponden pertahanan The Indian Express, Manu Pubby, dalam tweet beliau.

Menurutnya belum ada maklumat kukuh mengapa pencarian MH370 diperluaskan hingga ke pantai Chennai.
Pegawai dan anggota Tentera Laut, Tentera Udara dan Pengawal Pantai India digembleng dalam usaha mencari pesawat itu yang meliputi kawasan dari Laut China Selatan hingga ke Laut Andaman.

Pantai Chennai terletak kira-kira 900km dari Laut Andaman, kata Manu yang turut memaparkan gambar bagi menunjukkan jarak kawasan itu dalam tweet beliau.

India menggunakan dua pesawat C-130 dan sebuah helikopter Mi-17 V5 Tentera Udara selain Dornier dan P8i iaitu pesawat peninjau maritim Tentera Laut.

Pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 227 penumpang dengan lima daripadanya warga India selain 12 anak kapal, dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Bernama

No comments:

Post a Comment