Saturday, 15 March 2014

Pembakaran terbuka: Risiko tanah dirampas

Elizabeth Wong
Elizabeth Wong


SHAH ALAM - Pemilik tanah yang kerap melakukan pembakaran terbuka di Selangor berdepan tindakan undang-undang iaitu didakwa di mahkamah dan tanah mereka mungkin dirampas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri Elizabeth Wong berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pemilik tanah yang melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan jerebu.

"Terdapat beberapa kawasan yang telah kita beri amaran untuk tidak lakukan pembakaran terbuka tetapi mereka masih melakukannya.

"Jadi kita akan kenal pasti siapa pemilik tanah dan akan putuskan sama ada untuk dakwa mereka di mahkamah atau rampas tanah mereka," katanya dalam sidang media selepas perasmian Maraton Wanita Malaysia 2014 yang disempurnakan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sini, semalam.

Beliau berkata bagi tujuan itu, pihak Jabatan Alam Sekitar Selangor membuka 12 kertas siasatan membabitkan pembakaran terbuka berskala besar.

Beliau berkata mereka yang diheret ke mahkamah berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Kerajaan negeri, khususnya Menteri Besar, juga serius dengan tindakan untuk merampas tanah bagi mengekang kedegilan pemilik tanah yang masih melakukan pembakaran terbuka walaupun telah banyak kali diberi amaran," kata Elizabeth.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata, pasukan Tindakan Segera (Pantas) MPK mempergiat operasi memantau kebakaran hutan sekitar Johan Setia di sini bagi menghalang ia daripada merebak ke lokasi baharu.

Beliau berkata hasil siasatan dan pemantauan mendapati kebakaran itu berpunca daripada pembakaran oleh peneroka haram.

Selain itu, faktor cuaca kering turut menyebabkan kebakaran mudah merebak ke kawasan berhampiran.

"Walaupun api merebak dengan begitu cepat, ia berjaya dikawal oleh Skuad Pantas MPK bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor dan kerjasama ini banyak membantu operasi memadam agar ia tidak merebak serta mengelak skala kebakaran menjadi lebih besar," katanya dalam satu kenyataan. 

Bernama

No comments:

Post a Comment