Monday 29 December 2014

Seorang lagi mangsa letupan bom di Gurun meninggal dunia

Mohd Shahrizan Abd Wahab, 30, (kanan) bapa kepada Aqif Luqman, melihat keadaan rumahnya yang rosak teruk ketika ditemui di Taman Ria Mesra II hari ini.

ALOR SETAR: Seorang lagi mangsa yang cedera parah dalam kejadian letupan bom di Gurun pada 24 Dis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pagi ini.

Sharifah Azlina Hashim, 30, isteri kepada anggota tentera Ayob Hashim, 34, yang maut dalam kejadian itu disahkan meninggal dunia pada pukul 9.21 pagi tadi di HSAH selepas beberapa hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof berkata ini menjadikan jumlah mangsa yang meninggal dunia akibat kejadian letupan bom itu kepada empat orang.

"Mangsa telah meninggal dunia pada pukul 9.21 pagi tadi dan ini menjadikan jumlah kematian kepada empat orang," katanya kepada pemberita di sini.

Zakaria berkata satu pasukan khas telah ditubuhkan di bawah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Nashir Ya bagi menyiasat punca kejadian berlakunya kejadian letupan itu.

"Saya telah tubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat punca kejadian dan hari ini satu perjumpaan akan diadakan bersama pegawai tentera dari Kem Hobart, Gurun, bagi berbincang dan mengetahui jenis-jenis latihan yang dijalankan Ayob," katanya.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan anggota polis untuk membersihkan kawasan kejadian semalam dan pihaknya masih menemui serpihan bom yang meletup.

"Kita akan teruskan siasatan dan ambil tindakan selanjutnya bagi menyiapkan kertas siasatan berkaitan kejadian ini," katanya.

Letupan itu mengakibatkan seorang anggota tentera, Ayob Hassim, 34, dari Kem Hobart, Gurun; anak perempuannya berusia lapan tahun Hidayah Ayob; anak jirannya Afiq Lokman Mohd Sharizal, 5, maut, manakala jirannya Zuraida Mat Robete, 30, yang cedera berada dalam keadaan stabil. 

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, jenazah Sharifah Azlina akan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk proses forensik. 

- Sumber: Bernama 

No comments:

Post a Comment