Monday 29 December 2014

'Objek pelik', tumpahan minyak kelihatan, lapor media

Pasukan SAR Indonesia belum mengesan pemancar lokasi kecemasan pesawat AirAsia QZ8501.

KUALA LUMPUR: Pelbagai teori dan sangkaaan awal kini melanda saluran maklumat di Indonesia mengenai kehilangan dan juga misi mencari dan menyelamat (SAR), baik di media arus perdana dan lebih-lebih lagi di internet.

Buat masa ini, sebarang tanda atau laporan yang diterima daripada sebarang komponen pasukan SAR akan diselidik dengan terperinci kerana pihak Badan SAR Nasional (Basarnas) Indonesia amat berhati-hati dalam menyampaikan maklumat kepada umum.

Terbaru, Associated Press (AP) melaporkan seorang pegawai rasmi Indonesia ada berkata tentang penemuan objek di permukaan laut oleh pesawat yang terlibat dalam misi pencarian.

Komander Angkatan Udara di Jakarta, Marshal Dwi Putranto berkata, dia telah diberitahu bahawa pesawat Orion milik Australia menemui objek yang meragukan berekatan Pulau Nangka, kira-kira 160 kilometer di barat daya Pangkalan Bun, Kalimantan iaitu 1,120 kilometer daripada lokasi akhir peesawat itu berhubung dengan pihak kawalan trafik udara (ATC)

"Bagaimanapun, kita belum pasti sama ada itu merupakan serpihan pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang. Kami kini bergerak ke arah itu dalam keadaaan cuaca mendung," kata Putranto.

Misi pencarian pesawat AirAsia yang dilaporkan hilang di perairan Tanjung Pandan, Bangka Belitung sejak Ahad masih berjalan dengan penyertaan dua pesawat Hercules C-130 dari Pangkalan Ops Lanud Halim Perdana Kusuma yang dihantar pihak Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Terdahulu, portal Kompas.commelaporkan, Mejar Djoko Purnomo yang mengendalikan navigasi pesawat Hercules C-130 Alpha 1319 memberitahu bahawa setelah dua jam dalam misi pencarian di wilayah utara bahagian barat perairan tersebut, tidak kelihatan sebarang tanda kedudukan pesawat berkenaan.

Luas kawasan pencarian itu, menurut Djoko, mencapai 3,600 batu nautika. Selain itu, tujuh pesawat lain dari republik berkenaan dan juga dari Singapura dan Malaysia turut memantau sektor lain.

“Setelah pencarian di wilayah barat ini selesai, pencarian seterusnya akan dilakukan di wilayah sebelah utara sepanjang 120 batu nautika, sesuai dengan titik koordinat yang telah diberikan,” ujar Djoko.

Isyarat belum dikesan

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan, Tatang Kurniadi memberitahu bahawa isyarat kecemasan dari AirAsia QZ8501 tidak dapat dijejaki sehingga kini dan pihak Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia (KNKT) masih belum menyimpulkan penyebabnya.

Djoko menambah, dua pemancar isyarat yang dimiliki pesawat QZ8501 iaitu pemancar lokasi kecemasan (ELT) dan pengesan bawah air (ULB) juga belum dikesan dalam misi mencari dan menyelamat (SAR).

“Secara teknikal, dalam pemancar lokasi memiliki antena yang memancarkan isyarat. Kalau ia patah, maka itu tidak boleh dilakukan,” kata Tatang yang juga menyebut kemungkinan kerosakan pada pemancar.

Walaupun tidak ada data dari isyarat kecemasan, KNKT mengaku sudah memiliki beberapa data, seperti data koordinat, data meteorologi, data penerbangan, data kronologi hilangnya pesawat dari pihak kawalan trafik udara (ATC) Lapangan Terbang Soekarno-Hatta ketika kali akhir berhubung.

"Akan tetapi, kami tidak dapat memberi kepastian buat masa ini kerana proses penyiasatan memerlukan beberapa lagi data untuk perbandingan,” ujar Tatang.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment