Thursday 27 November 2014

'Track list' bocor, Rihanna segera lancar album


BEBERAPA minggu lalu, penyanyi R&B ini pernah memberitahu bahawa dia bakal melancarkan album baharunya dalam masa yang terdekat ini.

Kenyataan tersebut difahamkan telah dikeluarkan setelah mendapati 'track list' yang ada dalam albumnya itu telah bocor di Internet dan ramai peminat yang mula tidak sabar untuk mendengarnya.

Pun begitu, pemilik nama sebenar, Robyn Rihanna Fenty, 26, tidak memberikan informasi yang lebih lanjut mengenai album baharunya itu.

Malah, menerusi temubual bersama media antarabangsa, pelantun lagu, Umbrella ini juga enggan menganggap kes kebocoran 'track list' itu sebagai sesuatu yang serius.

"Sebenarnya, saya tidak tahu secara lebih lanjut mengenai tarikh pelancaran album itu. Namun, saya teruja untuk memperdengarkannya kepada umum.

"Saya benar-benar bersemangat untuk menjayakan album ini dan ia adalah hasil kerja keras saya pada tahun ini," katanya yang bakal mempertaruhkan 10 lagu terbaharu.


Menerusi kenyataan penyampai Dash Radio, DJ Skee, kemungkinan besar album itu akan dilancarkan pada penghujung tahun ini apabila pertemuan bersama label muzik, Def Jam, telah dilakukan pada minggu lalu.

Difahamkan, salah satu daripada judul lagu baharu album berkenaan adalah, I’ve Been Searching For Something To Ignite Me.

Bakal beri kejutan!

Mula melebarkan kariernya dalam industri muzik, sehingga kini, Rihanna memiliki tujuh album iaitu Music of the Sun (2005), A Girl like Me (2006), Good Girl Gone Bad (2007), Rated R (2009), Loud (2010), Talk That Talk (2011) dan Unapologetic (2012).

Album baharu ini merupakan karya album ke lapannya sepanjang sembilan tahun dalam dunia nyanyian dan pastinya, Rihanna mengakui ada keistimewaan yang tersendiri yang bakal ditonjolkan.

"Ya, sudah pastinya saya akan menampilkan satu kelainan dalam album ini. Bukan album ini sahaja, malah setiap album saya ada kelainannya.

"Malah, saya akui, bakal ada banyak kejutan yang akan datang dalam album ini untuk peminat yang selama ini menyokong saya sehingga ke tahap ini.

"Diharapkan agar sokongan peminat ini akan berterusan dan memberi kekuatan kepada saya untuk terus berdiri dalam dunia seni ini," katanya lagi.

Selain itu, dikhabarkan, Rihanna juga diberi kepercayaan dalam menghasilkan runut bunyi (soundtrack) menerusi filem terbaharu James Bond iaitu BOND 24.

- Sumber: Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment