Thursday 27 November 2014

Tentera antara tiga maut dalam kemalangan

IPOH - Seorang tentera antara tiga maut manakala dua lagi cedera parah selepas dua kereta bertembung di Kilometer 69 Jalan Ipoh-Gerik di Kampung Chuar Kati dekat Kuala Kangsar di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ghuzlan Salleh berkata, kejadian pada 1.10 pagi itu, mengakibatkan kereta Proton Satria terbakar dan pemandunya Lans Koperal Safani Hassan, 28, seorang anggota Batalion 4, Rejimen Sempadan di Kem Gerik, rentung.

"Pemandu kereta Mercedes Benz Pembantu Pengurus Kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Gerik Mohd Aminnuddin Mohd Hashim, 57, dari Kampung Chepor di Lenggong dan penumpang sebelahnya Hanita Ariffin, 46, dari Kampung Sri Wangi Simpang Lawin dekat Kuala Kangsar meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara penumpang belakang kereta Mercedes Benz Razali Yaakub, 55, dari Kampung Chepor, Lenggong dan seorang lagi wanita yang sedang dikenal pasti identitinya mengalami kecederaan parah.

Menurut Ghuzlan kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Satria yang datang dari arah Kuala Kangsar menghala ke Lenggong gagal memotong kenderaan lain di hadapan sebelum bertembung dengan kereta Mercedes Benz dari arah bertentangan.

"Akibat pelanggaran itu kereta Proton Satria telah terbakar dan pemandunya rentung dan meninggal dunia dalam kenderaan manakala pemandu Mercedes Benz dan penumpang depan tersepit serta meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk menerima rawatan lanjut.

“Bedah siasat ke atas ketiga-tiga mayat telah dijalankan di Hospital Kuala Kangsar pada 9 pagi tadi.

"Polis telah menghubungi keluarga mangsa dan pihak Kem Gerik mengenai kejadian ini," katanya.

Sementara itu, isteri Mohd Aminnuddin, Norzila Muad, 50, ketika ditemui berkata kali terakhir beliau bertemu suaminya kira-kira 1 tengah hari semalam, ketika mangsa pulang ke rumah untuk menunaikan solat Zuhur.

Beliau berkata Allahyarham memaklumkan mahu menghantar kereta ke bengkel di Gerik.

"Pada sebelah pagi, arwah sempat menghantar anak keempat Fatima Amila berusia 22 tahun ke stesen bas di Ipoh untuk ke Politeknik Sultan Azlan Shah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Kuala Kangsar di sini.

Norzila berkata, kereta yang dipandu Aminnuddin adalah milik Razali yang juga merupakan saudaranya.

Menurut Norzila ketika berucap pada program Hari Anugerah Sekolah Agama Rakyat Chepor Isnin lepas, Aminnuddin menyeru orang muda untuk menggantikan tempatnya selepas ini kerana merasakan beliau mungkin akan meninggal dunia.

Apa yang menyedihkan ialah anak kesembilan kami Farhana Hidayu, 12, terpaksa mengambil keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sendiri hari ini, kata Norzila.

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment