Thursday 27 November 2014

Shila Amzah terima anugerah Ikon Wanita Muda 2014

Shila Amzah

PENYANYI wanita popular tanah air, Shila Amzah atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Hamzah, hari ini dianugerahi 'Ikon Wanita Muda 2014' bersempena Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

Shila, 24, diwakili bapanya, Datuk Amir Amzah Salleh (ND Lala) untuk menerima anugerah itu yang disampaikan Ketua Puteri Umno Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Penyanyi itu, yang kini berada di Beijing, China, untuk rakaman rancangan muzikal di negara berkenaan, melahirkan kebanggaan dan penghargaannya atas penganugerahan itu menerusi video pendek yang dipaparkan kepada perwakilan di dalam dewan persidangan.

"Saya rasa terharu dan bersyukur dengan anugerah yang diberikan oleh Puteri Umno. Saya berterima kasih kepada Ketua Puteri Umno kerana mengiktiraf bakat seni saya. 

"Harapan saya kepada belia wanita muda di luar sana supaya sentiasa menyokong usaha Puteri Umno dan selamat bersidang kepada anggota-anggota Puteri Umno," katanya.

ND Lala, penyanyi popular pada era 90-an, berkata menjadi kewajipan bagi semua ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berjaya. 

"Kami bukan mendidik anak untuk mendapatkan sebarang anugerah, malah anugerah yang diterima itu merupakan bonus bagi anak-anak supaya menaikkan semangat mereka untuk berusaha lebih baik daripada sekarang," katanya kepada Bernama.

Selain Shila, Anugerah Ikon Wanita Muda 2014 juga diberi kepada atlet wanita berbasikal negara, Fatehah Mustapa yang meraih pingat perak dalam acara Keirin dalam Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, pada Oktober lalu.

Fatehah berkata anugerah itu menjadikan beliau tekad untuk membuktikan kepada Umno dan seluruh rakyat Malaysia bahawa wanita juga boleh berjaya setaraf dengan lelaki. 

"Saya akan bekerja keras untuk melakar lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang," katanya yang akan menyertai Kejohanan Trek Berbasikal Piala DuniaUCI siri kedua di London, Ahad ini.

Dua lagi penerima anugerah itu ialah Pendebat Terbaik dalam Kejohanan Debat Asia Bersatu di Singapura, Maizurah Mokhsein dan usahawan perniagaan dalam
talian Fashion Valet, Vivy Sofinas Yusof. - Bernama

- Sumber: Sinar Harian 

    No comments:

    Post a Comment