Thursday 27 November 2014

Indonesia sahkan 524 rakyat Malaysia ditahan

PUTRAJAYA - Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia telah menerima Nota Diplomatik daripada Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia, memaklumkan bahawa pihak berkuasa Indonesia telah menjalankan operasi keselamatan maritim pada 16 dan 17 November 2014 di perairan sekitar Daerah Berau, Kalimantan Timur dan di antara Pulau Derawan sehingga Pulau Panjang, Berau, Kalimantan Timur.

Katanya, pihak berkuasa Indonesia mendakwa telah menangkap seramai 524 orang penumpang dan 153 kapal dan perahu.

“Mereka yang ditahan didapati bersalah kerana menangkap ikan secara haram di perairan Indonesia dan melanggar peraturan imigresen kerana tidak memiliki permit atau pengenalan diri yang sah.

“Pihak berkuasa Indonesia sedang dalam proses mengenalpasti identiti dan maklumat pengenalan diri kesemua yang ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, hasil siasatan awal Perwakilan Malaysia di Pontianak pada 22 November 2014 mendapati mereka yang ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang mengesahkan mereka rakyat Malaysia dan tidak bertutur dalam Bahasa Malaysia.

“Siasatan ini telah dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa Indonesia.

“Kementerian Luar Negeri akan terus berhubung dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mendapatkan pengesahan sama ada mereka benar-benar rakyat Malaysia agar bantuan konsular dapat diberikan sewajarnya,” katanya.

Malaysia berharap proses pengesahan pihak berkuasa Indonesia dapat dilakukan secepat mungkin.

- Sind    

No comments:

Post a Comment