Saturday 11 October 2014

Teks ucapan Bajet 2015 - Strategi Ketiga

STRATEGI KETIGA: MENGUPAYA MODAL INSAN DAN KEUSAHAWANAN

77. Kontemporari ini, antara faktor yang menentukan kejayaan bagi sesebuah negara banyak bergantung kepada sumber manusianya. Kekayaan kini tidak lagi berasaskan kepada sumber 'bahan mentah' seperti petroleum, kelapa sawit atau sumber galian, semata-mata, tetapi juga merangkumi idea, kreativiti dan inovasi serta kemahiran insaniah, termasuklah ciptaan-ciptaan produk terkini, yang berupaya menjana ekonomi dan melahirkan usahawan-usahawan baharu.

78. Bagi maksud strategi ini dan falsafah modal insan, selaras dengan Ekonomi Keperluan Rakyat, adalah menjadi hasrat Kerajaan agar komponen gaji dalam KDNK ditingkatkan daripada takuk 34 peratus pada masa ini kepada 40 peratus daripada KDNK menjelang 2020.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan Pertama: Memantapkan Profesionalisme Perguruan dan Prestasi Sekolah

79. Sektor pendidikan negara akan terus diperkukuh selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Bagi tujuan ini, 56 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membiayai pelbagai program pengajaran dan pembelajaran. Ini termasuk penekanan akan diberikan kepada pemantapan sekolah-sekolah yang memerlukan bimbingan serta bantuan khusus. Justeru, peruntukan sebanyak 250 juta ringgit disediakan untuk menjayakan program Pembimbing Pakar Peningkatan Sekolah dan program Rakan Peningkatan Sekolah.

Tindakan Ke-2: Mengupaya Program Sekolah Amanah dan Pembinaan Sekolah Baru

80. Kerajaan juga akan memperluaskan program Sekolah Amanah yang telah dimulakan pada tahun 2011. Setakat ini, 30 buah Sekolah Amanah telah diwujudkan yang memanfaatkan lebih 20 ribu pelajar dan 1,500 guru. Oi bawah program ini, Pengetua diberi kuasa autonomi dan akauntabiliti yang tinggi dalam menguruskan pentadbiran serta proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Justeru, pada tahun hadapan, Kerajaan bercadang untuk memperluaskan program ini ke 20 buah sekolah lagi di negeri Johor, Sarawak, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan peruntukan 10 juta ringgit.

81. Di samping itu, Kerajaan juga akan membina 12 buah sekolah baru, iaitu 7 buah Sekolah Rendah, 3 buah Sekolah Menengah dan 2 buah Sekolah Berasrama Penuh di seluruh negara.

Tindakan Ke-3: Mengarus Perdana Pendidikan Teknikal dan Vokasional

82. Menjelang tahun 2020, sekurang-kurangnya 46 peratus pekerjaan memerlukan kelayakan teknikal dan vokasional. Untuk itu, Kerajaan akan meningkatkan pengambilan pelajar di kolej vokasional dan kolej komuniti melalui program Transformasi Vokasional dan Teknik serta menaik taraf kolej. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit.

83. Bersabit hal ini juga, buat masa ini bagi permohonan untuk mengambil jurusan di bawah Program Latihan Teknikal dan Vokasional atau TEVT, yang diterima oleh Kementerian Pendidikan jauh melebihi kemampuan tempat yang boleh disediakan, yakni lebih kurang 20 ribu. Jadinya, sebagai langkah untuk membuka lebih peluang bagi bidang ini, Kerajaan bersetuju meluluskan 100 juta ringgit dengan serta merta kepada Kementerian Pendidikan untuk menempatkan 10 ribu pelajar di kolej-kolej teknikal dan vokasional swasta. Di samping itu, 50 juta ringgit juga turut diperuntukkan kepada MARA bagi pelaksanaan Program TEVT.

Tuan Yang Dipertua,

84. Sebagai dorongan kepada syarikat swasta pula, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada ditambahbaik seperti berikut:

Pertama: Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai pendapatan diperluaskan kepada biasiswa untuk pelajar di peringkat pengajian pensijilan vokasional dan teknik;

Kedua: Potongan dua kali bagi maksud pengiraan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan syarikat dalam melaksanakan program internship berstruktur di peringkat diploma dan vokasional; dan

Ketiga: Potongan tambahan bagi maksud pengiraan cukai pendapatan diberi ke atas perbelanjaan latihan yang ditanggung oleh majikan bagi pekerja untuk mendapatkan sijil dan kelayakan profesional yang diiktiraf.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan Ke-4: Membangunkan dan Menyelenggara Fasiliti Pendidikan

85. Dalam aspek keselamatan dan persekitaran pembelajaran pula, Kerajaan akan menyediakan 800 juta ringgit untuk tujuan ini dengan pecahan seperti berikut:

• Sekolah Kebangsaan 450 juta ringgit;
• Sekolah Jenis Kebangsaan Cina 50 juta ringgit;
• Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil 50 juta ringgit;
• Sekolah Mubaligh 50 juta ringgit;
• Sekolah Berasrama Penuh 50 juta ringgit;
• Sekolah Agama Bantuan Kerajaan 50 juta ringgit;
• MRSM 50 juta ringgit;
• Sekolah Pondok yang berdaftar 25 juta ringgit; dan Sekolah Menengah Kebangsaan Cina atau conforming school yang mengguna pakai kurikulum Kebangsaan diperuntukkan sebanyak 25 juta ringgit

86. Kerajaan juga sukacita mengumumkan supaya pembayaran kos bil elektrik dan air kepada semua Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan, dapat dibayar sepenuhnya dengan siling sebanyak 5,000 ringgit sebulan, Ini berbeza dengan kuota 2,000 ringgit setiap sekolah sebelum ini.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan Ke-5: Menaja Pelajaran

87. Untuk Tahun 2015, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 3 bilion ringgit, di mana 1,9 bilion ringgit melalui tajaan JPA, sebanyak 759 juta ringgit kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dan 258 juta ringgit kepada Kementerian Kesihatan.

Tindakan Ke-6: Memperluas Program MyBrain15

88. Kerajaan telah memperkenalkan program MyBrain15 untuk menghasilkan 60 ribu pemegang PhD menjelang tahun 2023, Setakat ini, Seramai 34,525 pelajar sedang mengikuti pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah melibatkan perbelanjaan lebih 386 juta ringgit Untuk tahun 2015, sebanyak 112 juta ringgit lagi akan diperuntukkan, MyBrain15 yang kini terbuka kepada sektor swasta, dicadangkan diperluas kepada penjawat awam dan kakitangan badan berkanun yang ingin melanjutkan pengajian secara separuh masa di institusi pengajian tinggi tempatan,

Tindakan Ke-7: Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

89. Sejak penubuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN pada 1997 sehingga kini, seramai 2,1 juta rakyat Malaysia telah mengambil pinjaman berjumlah 47.8 bilion ringgit. Namun demikian, setakat 31 Ogos 2014, hanya 5.36 bilion ringgit atau 46 peratus daripada 11.76 bilion ringgit telah dikutip.

90. Lebih menyedihkan, terdapat seramai 174 ribu peminjam, yang langsung tidak pernah membayar balik setakat 2010. Oleh itu, Kerajaan akan mengambil langkah baru yang setimpal dan sewajarnya kepada para peminjam ini.

Tuan Yang Dipertua,

91. Hatta dalam Islam pun, melalui mafhum beberapa hadis sahih antaranya riwayat Muslim menyatakan bahawa, roh seorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab berhutang, waima dosa orang mati syahid pun diampuni, melainkan hutangnya.

92. Berkait ini, harap ramai dapat mengambil iktibar. Jadinya, dalam usaha menggalakkan peminjam membuat bayaran balik, Kerajaan mencadangkan supaya 10 peratus rebat diberikan sekiranya peminjam membuat bayaran balik pinjaman secara berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2015. Sebagai tambahan, tawaran diskaun 20 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat penyelesaian secara sekali gus atau lump sum mulai hari ini sehingga 31 Mac 2015.

93. Sejak tahun 2005, golongan berpendapatan tidak melebihi 2,000 ringgit sebulan, yang menyimpan di dalam SSPN-i, telah menikmati pemberian geran sepadan. Justeru, bagi menggalakkan lebih ramai ibu bapa menjadi pendeposit untuk menikmati geran sepadan ini, Kerajaan mencadangkan supaya had pendapatan isi rumah pencarum dinaikkan kepada tidak melebihi 4,000 ringgit sebulan.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan Ke-8: Meningkat Kebolehpasaran Graduan

94. Sehingga kini, dianggarkan seramai 53 ribu graduan masih belum lagi mendapatkan pekerjaan setelah 6 bulan tamat pengajian. Untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, Kerajaan mencadangkan supaya kurikulum dan program latihan kemahiran di institusi latihan kemahiran awam serta institusi pengajian tinggi dikaji semula. Untuk tujuan ini, Talent Corp akan menyediakan 30 juta ringgit bagi program Industry Academia Collaboration di mana, universiti, entiti Kerajaan dan industri bekerjasama membangunkan kurikulum program internship serta latihan industri.

95. Selain itu, keyakinan diri dan kemahiran graduan berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris akan dipertingkatkan. Pada masa ini, syarat kemasukan am ke IPTA mengkehendaki pelajar mencapai tahap minimum di Band 1 dalam Malaysian University English Test atau MUET. Mulai tahun hadapan:

(i) bagi kemasukan ke IPTA tahap minimum Band MUET ditingkatkan
mengikut bidang pengajian seperti contoh berikut:
a) Pengajian Sastera dan Sains Sosial -Band 2
b) Pengajian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik atau
STEM -Band 3
c) Pengajian Undang-undang & Perubatan -Band 4

(ii) sebagai syarat bergraduan pula, pelajar wajib mencapai:
a) pengajian Sastera dan Sains Sosial -Band 3
b) Pengajian STEM -Band 4
c) Pengajian Undang-undang & Perubatan -Band 5

Saya juga ingin menyarankan IPTS melaksanakan langkah yang sama.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan Ke-9: Mensejahterakan Golongan Pekerja

96. Pada suku kedua 2014, jumlah pekerjaan adalah sebanyak 13.5 juta iaitu peningkatan lebih 1.6 juta pekerjaan berbanding tahun 2010. Bagi memastikan kebajikan pekerja terus terbela:

(i) Akta Kerja 1955 dan akta perburuhan yang berkaitan akan dikaji semula yang termasuk terma dan syarat pekerjaan, pelantikan dan pemberhentian, waktu bekerja yang fleksibel serta faedah penamatan kerja;

(ii) Portal JobsMalaysia akan ditambahbaik bagi memenuhi keperluan pasaran tenaga kerja yang semakin dinamik;

(iii) Kerajaan akan memperkenalkan Sistem Insurans Pekerjaan bertujuan membantu golongan pekerja yang diberhentikan melalui pemberian bantuan saraan sementara serta peluang latihan semula atau reskilling and upskilling; dan

(iv) Menyediakan latihan teknikal dan bantuan pendidikan kepada golongan bella India terutama dari keluarga kurang berkemampuan dengan peruntukan 30 juta ringgit.

97. Pada tahun 2011, Skim Latihan 1Malaysia atau SL1M telah berjaya mendapatkan pekerjaan kepada lebih 45 ribu graduan dari kalangan isi rumah berpendapatan rendah dan luar bandar. Kerajaan telah menyokong usaha CSR oleh majikan dalam pelaksanaannya melalui galakan potongan dua kali kepada syarikat bagi maksud pengiraan cukai pendapatan sehingga 31 Disember 2016. Saya mencadangkan galakan cukai ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan Ke-10 : Globally Recognised Industry and Professional Certification atau 1MalaysiaGRIP

98. Bagi memperhebatkan program upskilling dan reskilling, Kerajaan akan memperkenalkan satu program baru, iaitu Globally Recognised Industry and Professional Certification atau 1MalaysiaGRIP dengan peruntukan sebanyak 300 juta ringgit secara matching grant antara Kerajaan dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad bagi melatih seramai 30 ribu pekerja.

Tindakan Ke-11 : Program Latihan Kemahiran

99. Kerajaan akan meningkatkan program latihan .kemahiran di institusi latihan kemahiran Jabatan Tenaga Kerja atau JTK. Program latihan ini akan melibatkan pelajar lepasan Sijil Kemahiran Malaysia, graduan universiti atau kolej serta pekerja industri terutama pekerja separuh mahir. Bagi mengoptimumkan 32 institusi latihan JTK, Kerajaan akan mengoptimumkan kapasiti latihan double shift bagi program sepenuh masa melibatkan 176 kursus yang mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan. Pengambilan pelajar sebanyak 2 kali setahun dianggarkan melibatkan 48 ribu dalam tempoh 5 tahun pelaksanaannya dengan peruntukan 570 juta ringgit.

Tindakan Ke-12: Syarikat Permulaan atau Start-up

100. Kerajaan berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi tumpuan bagi Syarikat Permulaan atau Start-up di rantau ini. Salah satu usaha adalah penubuhan MaGIC bagi mewujudkan ekosistem yang lebih kondusif untuk memudah cara syarikat Start-up memulakan perniagaan. Justeru, bagi menarik lebih ramai usahawan ekspatriat syarikat Start-up beroperasi di Malaysia, dicadangkan kriteria khas Modal Berbayar syarikat Start-up ditetapkan sebanyak 75 ribu ringgit. Usahawan ekspatriat Start-up yang layak akan diberi Startup Work Pass untuk tempoh satu tahun.

No comments:

Post a Comment