Saturday 11 October 2014

Teks ucapan Bajet 2015 - Strategi Kedua

STRATEGI KEDUA: MEMANTAP TADBIR URUS FISKAL

64. Hakikatnya, Kerajaan sentiasa berusaha bagi mengukuhkan kemampanan kedudukan kewangan Negara, untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh dan mengurangkan defisit fiskal, bagi mencapai bajet berimbang.

Tindakan Pertama: Melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan

65. Semasa pengumuman GST sewaktu pembentangan Bajet 2014 lalu, Kerajaan telah mencadangkan senarai barang makanan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan GST. Maka berdasarkan kepada maklum balas pelbagai lapisan masyarakat, Kerajaan telah bersetuju untuk meluaskan skop barang yang tidak dikenakan GST. Antara penambahannya adalah:

(i) Semua jenis buah-buahan tempatan dan diimporl;
(ii) Roti putih dan roti wholemeal;
(iii) Serbuk kopi, serbuk teh dan serbuk koko;
(iv) Mi kuning, kue tiau, laksa dan bihun;
(v) Ubat-ubatan Penting Nasional yang meliputi hampir 2,900 jenama ubat. Ubat-ubatan ini adalah bagi kegunaan rawatan untuk 30 jenis penyakit termasuk sakit jantung, kencing manis, darah tinggi, kanser dan rawatan kesuburan;
(vi) Bahan bacaan seperti buku mewarna kanak-kanak, buku latihan dan rujukan, buku teks, kamus dan kitab agama; dan
(vii) Surat khabar.

66. Selain itu, Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar penggunaan elektrik yang tidak dikenakan GST daripada 200 unit kepada 300 unit pertama. Ini bermakna, sebanyak 70 peratus isi rumah akan mendapat manfaat langsung.

67. Di samping itu, bagi memastikan pelaksanaan GST tidak membebankan rakyat, Kerajaan bersetuju supaya penjualan runcit minyak petrol RON95, diesel dan LPG diberikan pelepasan GST. Melalui langkah ini, pengguna dan kumpulan sasaran yang berkenaan tidak perlu membayar GST bagi pembelian petrol RON95, diesel dan LPG.

Tuan Yang Dipertua,

68. Molek saya nyatakan di sini bahawa, daripada 944 barang dan perkhidmatan yang terdapat di dalam basket of goods, Indeks Harga Pengguna, 532 barang atau 56 peratus dijangka mengalami penurunan harga sehingga 4.1 peratus. Antara produk tersebut adalah ubat-ubatan, barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh, produk tekstil, barangan plastik seperti baldi dan pinggan mangkuk, kasut dan selipar, perabot rumah, lampin bayi, sabuil, daging, telur ayam, minyak masak, makanan laut, beras dan sayur-sayuran.

69. Manakala sekitar 354 jenis barang dan perkhidmatan yang akan mengalami kenaikan harga tidak melebihi 5.8 peratus. Apa yang penting, Kerajaan berharap para peniaga bersifat bertanggungjawab dengan tidak meningkatkan harga sehingga membebankan rakyat. Untuk memudahkan rakyat, Kerajaan akan mengeluarkan shoppers' guide bagi membolehkan mereka membuat perbandingan harga sebelum dan selepas GST.

Tuan Yang Dipertua,

70. Perlu difahami baik-baik juga, sebenarnya, kesan langsung daripada pelaksanaan 88T, membolehkan Kerajaan mengurangkan beban cukai kepada rakyat seperti berikut:

Pertama: Kepada individu dan isi rumah bagi tahun taksiran 2015

(i) Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan. Melalui langkah ini, seramai 300 ribu orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar.
(ii) Manakala, golongan berkeluarga yang berpendapatan empat ribu ringgit sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai.
(iii) Cukai pendapatan individu juga akan distruktur semula di mana pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi 100 ribu ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit. Kadar cukai maksimum yang kini 26 peratus pula, dikurangkan kepada 24 peratus, 24.5 peratus dan 25 peratus. Justeru, pembayar cukai akan menikmati penjimatan bayaran cukai sekurang-kurangnya sebanyak 5.3 peratus.

Kedua: Bagi tahun taksiran 2015, kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan satu hingga dua mata peratusan. Selain itu, yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai juga dibenarkan potongan cukai;

Ketiga: Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata peratusan daripada 25 peratus kepada 24 peratus; dan

Keempat: Bagi tahun taksiran 2016, kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata peratusan daripada 20 peratus kepada 19 peratus.

Tuan Yang Dipertua,

71. Pada satu perspektif, pengalaman antarabangsa membuktikan, tahap kesediaan peniaga adalah salah satu faktor kejayaan pelaksanaan GST. Bagi membantu para peniaga, insentif dan bantuan berikut akan dilaksanakan:

Pertama: Pemberian Geran latihan sebanyak 100 juta ringgit kepada peniaga untuk menghantar kakitangan menjalani latihan tentang GST;

Kedua: Bantuan kewangan berjumlah 150 juta ringgit kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan;

Ketiga: Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi Elaun Modal Dipercepatkan; dan

Keempat: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST diberi potongan cukai tambahan.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-2: Merasionalisasi Subsidi

72. Kerajaan telah memperuntukkan 588 juta ringgit bagi pelbagai subsidi pada tahun 1994. Jumlah ini telah meningkat kepada 40.5 bilion ringgit pada tahun 2014.

73. Bagi menambah baik kedudukan kewangan awam, Kerajaan komited untuk melaksanakan langkah rasionalisasi subsidi, terutamanya subsidi petroleum. Langkah ini bertujuan mempastikan pemberian subsidi lebih bersasar serta mengurangkan ketirisan dan penyeludupan. Kerajaan akan mempastikan langkah rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara berperingkat bagi mempastikan ianya tidak membebankan rakyat.

74. Kini, lebih 21 bilion ringgit setahun diperuntukkan untuk membiayai subsidi petrol RON95, diesel dan gas memasak LPG. Kesannya, peruntukan subsidi telah meningkat lebih 14 kali ganda daripada 1.65 bilion ringgit tahun 2002 kepada 23.5 bilion ringgit tahun 2013, semata-mata untuk mengekalkan harga runcit petrol yang rendah. Ini disebabkan peningkatan jumlah kenderaan daripada 13.6 juta unit pada 2008 kepada 23.7 juta unit pada 2013

75. Oleh yang demikian, bagi mempastikan pemberian subsidi yang lebih bersasar dan mengambil kira kesedaran dan kesediaan rakyat terhadap langkah rasionalisasi subsidi, Kerajaan akan membangunkan satu mekanisme baru pemberian subsidi petroleum yang akan saya umumkan dalam masa terdekat.

Tuan Yang Dipertua,

Tindakan ke-3: Menyebar Luas Strategi Lautan Biru Kebangsaan

76. National Blue Ocean Strategy, telah menunjukkan keberkesanan pelaksanaan projek dan program Kerajaan. Untuk itu sebanyak 356 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2015, iaitu:

Pertama: Membuka 4 buah lagl UTe di Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Perlis serta 1 mini UTe di Kedah; dan

Kedua: Mempergiatkan latihan peningkatan kemahiran atau upskilling kepada 5,000 pelatih melalui program 1Malaysia Skills and Employability Scheme bagi sektor awam dan 1Malaysia Training Centre bagi sektor swasta.

No comments:

Post a Comment